Abdul Karim ambil alih jawatan Presiden Saberkas

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah - Foto Bernama
Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah - Foto Bernama
A
A
A

MIRI - Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) yang baharu hari ini.

Beliau menggantikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang enggan dicalonkan semula sebagai Presiden pada mesyuarat agung tiga tahun sekali (TGM) ke-16 organisasi itu di sini.

Saberkas adalah organisasi belia terbesar di negeri ini dengan lebih 44,500 ahli.

“Ia adalah amanah dan tanggungjawab berat yang harus dipikul kerana penubuhan Saberkas melibatkan belia kita yang memerlukan bimbingan daripada pemimpin agar mereka menjadi generasi pemimpin masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Karim yang juga Timbalan Presiden Seberkas sebelum ini adalah satu-satunya calon untuk jawatan itu selepas dicalonkan oleh wakil daripada cawangan Semariang.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pula dilantik sebagai Timbalan Presiden baharu.

Abang Johari yang menjadi Presiden Saberkas sejak 2009 mengambil alih jawatan itu daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang juga Ketua Menteri pada masa itu.

Secara tradisinya, sejak penubuhan Saberkas pada 1973, jawatan Presiden selalunya dipegang oleh Ketua Menteri. - Bernama

Artikel Berkaitan: