X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Cadang pakej rangsangan ekonomi khusus Kota Setar

Aizuddin Ariffin
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah mencadangkan agar kerajaan negeri melaksanakan pakej rangsangan ekonomi khusus untuk Kota Setar susulan daerah itu berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran bermula 11 hingga 25 September ini.

Timbalan Ketuanya, Aizuddin Ariffin berkata, antara yang boleh dilakukan untuk meringankan beban penduduk terlibat adalah dengan mengumumkan stimulus pakej seperti bantuan secara ‘one off’ dan pengecualian bil air dalam tempoh tertentu.

Ini kerana, katanya, rakyat Kedah berdepan gelombang kedua penularan pandemik Covid-19 selain turut melibatkan beberapa daerah sebelum ini.

“Saya harap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor lebih proaktif dengan memberi khabar gembira buat penduduk terlibat.

"AMK mencadangkan agar pakej rangsangan ekonomi khusus untuk Kota Setar perlu segera dilaksanakan bagi mengurangkan kesan ekonomi penduduk terlibat,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD: Tambah peruntukan jika bantuan RM1 juta tidak cukup

Aizuddin yang juga Ketua Penerangan AMK berkata, aspek lain yang boleh diperhalusi dalam meringankan beban penduduk termasuk diskaun cukai tanah dan cukai pintu secara prorata serta pengecualian bayaran sewa premis kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi tempoh tertentu.

“Kita juga cadangkan agar kerajaan negeri berbincang dengan kerajaan Pusat dan agensi kewangan untuk menangani beban ini termasuk memohon lanjutan moratorium bayaran balik pinjaman yang tamat pada 30 September selepas lanjutan moratorium kepada bantuan bank bersasar selama tiga bulan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya usaha itu mampu mengurangkan keresahan penduduk yang terkesan yang kebanyakannya dalam kalangan B40.

“Senario ini memberi implikasi ekonomi kepada penduduk Kota Setar. Rata-rata penduduknya menjana pendapatan dari sektor pertanian, nelayan dan peniaga kecil.

"Antara aduan yang diterima ialah mereka terputus sumber pendapatan kerana bekerja sebagai pekerja kontrak selain mengharapkan gaji harian,” katanya.

Pada 14 September lalu, Muhammad Sanusi mengumumkan peruntukan awal bantuan bekalan makanan sebanyak RM1 juta untuk membantu penduduk Kota Setar yang terputus bekalan makanan.

Peruntukan terbabit adalah untuk membantu penduduk yang benar-benar terputus bekalan makanan dan bukan kepada semua 366,787 penduduk daerah Kota Setar.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!