X

Kindly register in order to view this article
!

Mugen Rao bakal muncul dalam tiga filem Kollywood

Mugen Rao yang menjuarai program realiti televisyen popular di India, Bigg Boss bakal membuat penampilan sulung dalam layar perak di Kollywood.
A
A

KUALA LUMPUR - Mugen Rao yang menjuarai program realiti televisyen popular di India, Bigg Boss bakal membuat penampilan sulung dalam layar perak di Kollywood.

Penyanyi dan pelakon Malaysia itu mendedahkan bahawa dia telah menandatangani kontrak untuk membintangi tiga filem Tamil selepas memenangi program realiti musim ketiga itu tahun lepas.

“Saya komited (untuk berlakon) dalam tiga filem Tamil. Saya telah menjalani penggambaran di India tetapi ia terpaksa dihentikan kerana pandemik Covid-19. Jadi, saya harus kembali ke Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Mugen bagaimanapun enggan mendedahkan tajuk dan maklumat lanjut mengenai filem-filem itu.

Bintang berusia 25 tahun itu yang memiliki ramai pengikut dari seluruh dunia berkata penggambaran filem itu akan bersambung tidak lama lagi setelah keadaan wabak berkenaan terkawal di India.

Mugen berkata demikian dalam program bicarawara Tamil Bernama, Konjum Casual-la Pesalaama. Program baharu itu akan disiarkan 7.30 malam esok di Bernama TV dan platform media sosial pertubuhan berita itu.

Konjum Casual-la Pesalaama, sebuah terbitan bahagian Digital Media Bernama akan menampilkan personaliti muda dan berbakat daripada pelbagai bidang termasuk hiburan, sukan dan pendidikan.

Mugen juga terlibat dalam beberapa projek video dan akan bekerjasama dengan pelakon dan penyanyi Kollywood, Teejay Arunachalam.

Walaupun mempunyai komitmen dalam projek dan filem, beliau tetap ingin meluangkan masa untuk menyumbang kepada industri hiburan tempatan.

“Terdapat ramai artis di Malaysia yang berbakat. Saya akan membimbing mereka dan berkongsi pengetahuan saya,” katanya.

Mugen adalah rakyat Malaysia pertama yang bertanding dalam program Bigg Boss pada 23 Jun lalu. Dua musim sebelum ini bersiaran pada 2017 dan 2018.

Beliau muncul juara selepas menginap di rumah dalam program itu selama 105 hari, mengalahkan peserta lain sekali gus mendapat perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia di media sosial. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!