X

Kindly register in order to view this article
!

Implikasi pelaksanaan semula PKP

A
A

KRISIS pandemik koronavirus (Covid-19) di Malaysia telah berlarutan sehingga September. Ia kembali menunjukkan petanda membimbangkan susulan peningkatan jumlah kes positif agak ketara dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui perutusan khas situasi semasa Covid-19 pada Rabu lalu turut menzahirkan kekhuatiran berikutan sepanjang tempoh 14 hari sahaja, sebanyak 615 kes baharu telah dicatatkan, malah jumlah keseluruhan wabak tersebut telah memasuki lima angka iaitu sebanyak 10,147 kes.

Dalam perutusan tersebut, Muhyiddin telah menegaskan bahawa pihak kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan PKPD di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes baharu Covid-19 yang tinggi dan terpaksa mengimplementasikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula sekiranya jumlah kumulatif kes positif dalam negara meningkat secara mendadak di seluruh Malaysia.

Muhyiddin turut mengingatkan bahawa pelaksanaan PKP semula tentu mengundang implikasi buruk kepada kelangsungan hidup rakyat Malaysia, misalnya orang ramai tidak boleh ke mana-mana dan perlu tinggal di rumah sahaja. Sektor ekonomi yang telah dibuka secara berperingkat yang kini semakin menunjukkan pemulihan positif kemungkinan besar akan terjejas teruk.

Kolum lidah pengarang akhbar harian, Malaysia Nanban menyedari hakikat itu dan meminta usah melaksanakan PKP, sebaliknya mengesyorkan kepada pihak kerajaan agar memastikan rakyat terus mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) bagi menghindari kewujudan kes dan kluster baharu.

Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini mengenai jangkitan kes-kes positif yang drastik dalam tempoh dua minggu itu cukup membuktikan orang ramai bersikap leka dan malas mematuhi SOP bagi membantu memutuskan rantaian jangkitan virus pandemik tersebut.

Ia disebabkan negara yang berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga hujung tahun ini membenarkan rakyat menjalankan aktiviti harian seperti biasa dengan pembudayaan normal baharu.

Bagaimanapun, senario semasa Covid-19 di Kedah, Perlis dan Sabah apabila beberapa daerah dikategorikan sebagai zon merah, antaranya Kota Setar, Tawau serta Lahad Datu memberi isyarat kepada pihak berkuasa mahupun rakyat supaya berjaga-jaga.

Isyarat itu juga menjelaskan bahawa Malaysia masih belum pulih sepenuhnya daripada zon bahaya krisis pandemik Covid-19.

Malaysia Nanban menyatakan Malaysia memerlukan tempoh masa yang agak lama lagi untuk menyelamatkan rakyat dan mencegah penularan jangkitan Covid-19.

Sementara itu, kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia telah direkodkan sebanyak 1.28 peratus iaitu seramai 128 orang disahkan telah meninggal dunia sehingga hari ini. Walaupun angka kadar kematian dilaporkan amat tipis berbanding populasi rakyat Malaysia, namun insan-insan yang tidak berdosa telah menjadi mangsa dan keluarga kehilangan individu-individu kesayangan.

Malaysia Nanban meminta seluruh rakyat Malaysia wajib mematuhi segala peraturan dan SOP yang ditetapkan pihak berkuasa demi memerangi wabak Covid-19.

Rakyat Malaysia yang cekal dan berdisiplin tinggi mampu mengekalkan keselesaan yang dinikmati pada hari ini berlandaskan normal baharu bagi memastikan kestabilan sosial, ekonomi, politik dan kesihatan terjamin buat selama-lamanya.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!