PRN Sabah sangat luar biasa

PRN Sabah ke-16 melibatkan 73 kerusi DUN akan berlangsung 26 Sept ini. -Foto Bernama
PRN Sabah ke-16 melibatkan 73 kerusi DUN akan berlangsung 26 Sept ini. -Foto Bernama
A
A
A

BEBERAPA hari di Sabah telah membolehkan saya mendalami ‘budaya politik Sabah’. Apabila selesai penamaan calon pada 12 September 2020, parti mahupun calon terkejut, begitu juga pemerhati politik. Tidak dinafikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini meriah meraikan demokrasi dan amalannya, namun di luar jangkaan dengan apa yang berlaku. Siapa sangka penyanyi kumpulan Estranged, Rich mahu bertanding sebagaimana ada ahli sukan mencuba nasib.

Persoalan yang pertama, bersediakah jika parti Warisan Plus kekal, bagaimana hubungan negeri-pusat dan komunikasi barisan kepimpinan? Kedua, jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang, ke manakah Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dan lompatkah Ahli Parlimen itu? Ketiga, jika keputusannya mirip Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bertukar haluan lagikah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah? Keempat, siapakah bakal Ketua Menteri jika GRS membuat kejutan.

Kelima, berubahkah Gabenor Negeri kepada calon yang dikompromi? Keenam, di manakah penghujung ‘persaingan persahabatan' dalam Perikatan Nasional (PN) dan impak ke atas parameter politik Pusat kerana PBS misalnya, bertembung dengan UMNO di 16 DUN, 5 (STAR), 4 (PBRS), 2 (MCA) dan 1 PPBM. Apakah tujuannya berbanding dengan Warisan Plus yang tiada permainan dalaman. Tujuh, isyarat di sebalik kewujudan sabotaj ke atas jentera dan calon. Kelapan, masih adakah aura PRU14 untuk Mohd Shafie dan pasukannya?

PRN Sabah kali ini luar biasa. Seramai 447 calon menawarkan diri untuk bertanding di 73 kerusi DUN. Sebanyak 63 peratus adalah berumur 50 tahun ke atas dan di bawah umur 40 tahun sebanyak 15 peratus. Sebanyak 17 pihak akan bertanding, antaranya Parti Cinta Sabah (73), Warisan (53), USNO (47), LDP (46), BN (41), PN (29), PBS (22), UPKO (12), PKR (7) dan Bebas (56).

Pertandingan mengikut penjuru pula bukan sesuatu yang baharu, namun DUN Bengkoka akan melihat 11 penjuru, manakala DUN Inanam pula 10 penjuru. Enam penjuru menjadi tarikan di 26 DUN, lima penjuru (15 DUN), tujuh penjuru (13 DUN) lapan penjuru (enam DUN), empat penjuru (lima DUN) dan tiga penjuru (tiga DUN). Menarik untuk melihat tiada pertembungan satu lawan satu atau kemenangan percuma tetapi tersentak apabila calon daripada kolasi gabungan besar bersabung sesama sendiri.

Pemandangan perang bendera antara parti-parti politik yang bertanding seperti BN, PN, Warisan Plus, Parti Cinta Sabah di Keningau. Gambar hiasan.
Pemandangan perang bendera antara parti-parti politik yang bertanding seperti BN, PN, Warisan Plus, Parti Cinta Sabah di Keningau. Gambar hiasan.

Personaliti

Maksud dan makna di sebalik penceritaan PRN Sabah menarik. Ia melibatkan pertembungan beberapa personaliti yang boleh dinamakan sebagai ‘gergasi’ politik Sabah.

Artikel Berkaitan:

Bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan merangkumi kawasan pantai, tengah dan bandar, isunya adalah ‘perut’ dan 'makanan', pekerjaan, Pas Hak Sementara, MA 63, tanah dan simpati ke atas Mohd Shafie walaupun 27 bulan pentadbiran beliau juga menjadi report card atau akan ada faktor mendominasi tanpa berani dinyatakan secara terbuka. Hakikatnya budaya politik Sabah berbeza. Perkelahian politik tidak terbawa-bawa. Persahabatan garis politik terpelihara.

Calon, jentera dan logistik memain peranan signifikan. Antara tiga itu, saya memilih logistik sebagai ‘sekuriti’ kepada pengundi selepas beberapa hari melakukan tinjauan kerja lapangan. Sabah tidak sempurna jika hanya Semporna menjadi keutamaan, kata pesaing politik manakala Ketua Menteri terus memainkan slogan ‘Berpadu Kita Mesti’ dengan ungkapan ‘Sabahan For Sabah’ berlawanan dengan slogan ‘Radu Tatap Radu’ oleh GRS bertembung Warisan Plus kali ini yang melakar dimensi baharu dalam politik kepimpinan di Sabah.

Nilai karisma, kewibawaan, reputasi dan kredibiliti akan menjadi taruhan. Pertembungan sosok politik akan menjadi teras, politik dendam dan marah akan mewarnai proses pendemokrasian. Gelagat pengundi berbeza mengikut etnik, kelas, pendidikan, agama dan proses perbandaran pengundi.

PRN Sabah penting bukan sahaja untuk orang Sabah tetapi juga masa depan politik tanah air. Ia kali pertama PN bertanding.

Koloboratif politik di Sabah boleh menjadi penanda aras ke atas politik arus perdana pusat nanti. Masing-masing menjadi tumpuan kerana ‘pemenang barangkali tidak menang semua’ dan yang ‘tewas tidak kalah semua’.

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia