X

Kindly register in order to view this article
!

Peranan Jalan Sutera Baru

A
A

KEDUDUKAN geo-strategik Uzbekistan dalam rantau Asia Tengah amat penting dari segi pengangkutan menghubungkan Timur dan Barat. Uzbekistan juga pernah dikuasai penakluk utama seperti Iskandar Zulkarnaian dari Yunani, Genghis Khan pengasas empayar Mongol.

Uzbekistan sendiri telah melahirkan seorang pemimpin tentera yang ulung iaitu Amir Timur. Pada pertengahan abad ke-19, Uzbekistan telah jatuh ke tangan kuasa empayar Rusia dan pada tahun 1924, menjadi sebahagian Soviet Union. Uzbekistan telah mencapai kemerdekaan dari Soviet Union pada 1 September 1991.

Presiden Shavkat Mirziyoyev menjadi Presiden Uzbekistan pada tahun 2016 selepas kematian Presiden Islam Karimov. Antara fokus utama dasar luar Uzbekistan sejak Shavkat mengambil alih tampuk pemerintahan adalah dasar regionalisme dan pembangunan rantau yang memberi feadah bersama kepada negara-negara dalam Asia Tengah.

Pada November 2017, kerajaan Uzbekistan telah menganjurkan persidangan antarabangsa Central Asia: One Past and Common Future, Cooperation for Sustainable Development and Mutual Prosperity di Samarkand.

Semasa berucap pada persidangan itu, Shavkat membincangkan pembangunan bersama dalam pelbagai bidang dan memberi cadangan bagi kerjasama rantau Asia Tengah.

Salah satu inisiatif beliau adalah penerimaan Resolusi PBB bagi memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa untuk menjamin keamanan, kestabilan dan pembangunan lestari di rantau Asia Tengah. Resolusi itu dipersetujui pada Perhimpunan Agung PBB pada 2018. Resolusi PBB itu mencadangkan pembangunan mampan dan menyokong koridor pengangkutan serta koridor transit. Langkah itu adalah sebahagian usaha ‘Great Silk Road’ untuk menghidupkan semula keagungan Jalan Sutera dengan menyambung Asia

Pada tahun 2018, Asia Tengah mempunyai jalinan laluan keretapi melebihi 22,000 kilometer dan dijangka terus meningkat. Misalnya, landasan keretapi Uzbekistan-Kyrgyzstan-China telah siap pada tahun 2020. Laluan keretapi itu menyambungkan China dan Uzbekistan melalui Kyrgyzstan. Laluan keretapi ini memberi peluang untuk mengangkut barangan dari Lanzhou, wilayah Gansu dan Kasghar, wilayah Xinjiang, China melalui Osh, Irkeshtam, Kyrgyzstan ke Tashkent, Uzbekistan kemudian ke Eropah Timur dan Timur Tengah. Ini salah satu laluan Asia ke Eropah yang terdekat serta selamat.

Pengangkutan jalan raya juga telah dipertingkatkan, antaranya Koridor Tashkent (Uzbekistan)-Andijan-Osh-Irkeshtam (Kyrgyzstan)-Kashgar (China) telah dibuka dan ia menyambung Asia Tengah dengan China melalui jalan raya. Selain itu, kerajaan Uzbekistan melalui badan logistik yang dikenali sebagai International Intermodal Logistic Center ‘Navoi’ sedang mempergiatkan jalinan perhubungan dengan pusat-pusat logistik udara di Eropah, misalnya Frankfurt, Berlin, Brussels, Vienna, Oslo serta di Asia Barat seperti Dubai, Tehran serta di Asia seperti Shanghai, Dehli dan Singapura.

Pada tahun 2011, laluan kereta api pertama di Afghanistan - Hayraton-Mazari-Sharif yang menyambungkan Afghanistan dengan Uzbekistan dibina. Laluan kereta api itu mampu meningkatkan aktiviti pengangkutan barangan bagi tujuan perdagangan antara Afghanistan-Uzbekistan, selain berpotensi menyambungkan Uzbekistan melalui Afghanistan ke pelabuhan Iran termasuk Bander Abbas dan Chabahar.

Pengangkutan udara antara kedua-dua buah negara juga telah terjalin. Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent, Uzbekistan telah menjadi hab udara oleh penumpang syarikat penerbangan Afghanistan untuk menghubungkan penerbangan ke Jerman, Britian serta negara-negara Eropah.

Jika dahulu Uzbekistan terkenal sebagai pusat peradaban Islam ketika Jalan Sutera Lama, kini ia menjadi tunjang kepada jalinan pengangkutan dan perhubungan dalam Jalan Sutera Baru menghubungkan antara Asia dengan Eropah.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!