Hawar berdarah: Jangan pindah ternakan ke daerah lain

Muhammad Syukur melihat kerbau peliharaan bapanya yang ditemui mati secara berperingkat sejak Rabu lalu. Gambar kecil: Dr Azman Ibrahim
Muhammad Syukur melihat kerbau peliharaan bapanya yang ditemui mati secara berperingkat sejak Rabu lalu. Gambar kecil: Dr Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Orang ramai khususnya penternak di daerah yang sedang dilanda wabak hawar berdarah atau haemorrhagic septicaemia (HS) diminta tidak memindahkan haiwan ternakan mereka ke daerah lain.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, larangan itu bagi mengelak penyebaran wabak berkenaan merebak ke kawasan lain dan menjadikan keadaan lebih serius.

Menurutnya, beliau kesal apabila masih ada individu tidak peka dengan situasi wabak HS berikutan penahanan seorang lelaki yang bertindak memindahkan kerbau tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu hari ini.

“Hari ini penguat kuasa JPV Terengganu menahan sebuah lori bersama dua ekor kerbau di Manir dekat sini yang disyaki cuba dipindahkan dari daerah berlaku wabak tanpa kebenaran Pengarah JPV.

“Ini adalah kesalahan serius dan boleh menyumbang kepada penyebaran wabak penyakit ke kawasan yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Azman berkata, kes itu disiasat di bawah para (i) (b) Perintah di bawah Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Warta Kerajaan Negeri Terengganu) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: 36 kerbau Mowgli Malaysia mati bergelimpangan

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil serius perkara tersebut dan berharap orang ramai mematuhi larangan memindahkan haiwan ternakan buat masa sekarang supaya wabak HS dapat ditangani.

Artikel Berkaitan:

“Larangan keras ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak demi kepentingan bersama.

"Daerah yang terjejas dengan wabak HS sekarang ialah Marang dan Kuala Terengganu, namun pemindahan ternakan dari daerah lain yang tak terlibat juga perlu mendapat kebenaran JPV,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tidak kurang 36 ekor daripada 110 ekor kerbau peliharaan Muhammad Syukur mati secara tiba-tiba kerana diserang hawar berdarah yang dikesan sejak Rabu lalu.

Kes hawar berdarah mula dikesan di Kampung Tumang Jerong, Marang pada 9 Ogos lalu membabitkan kematian 22 kerbau dan 15 lembu di mana kematian terakhir berlaku pada 28 Ogos lalu, sebelum kes kematian melibatkan tujuh kerbau milik seorang penternak di Kampung Banggol Peradong pada 12 September lalu.

Berdasarkan laporan, JPV telah memulakan pemvaksinan HS pada 30 Ogos ke atas 675 lembu dan 58 kerbau milik 106 penternak di 12 kampung.