147 individu dikompaun, lima premis ditutup gagal patuhi SOP

Pihak polis dan MBPP sedang memeriksa pelanggan di beberapa premis dalam operasi bersama yang dijalankan bermula 15 September lalu. -Foto Ihsan FB MBPP
Pihak polis dan MBPP sedang memeriksa pelanggan di beberapa premis dalam operasi bersama yang dijalankan bermula 15 September lalu. -Foto Ihsan FB MBPP
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 147 individu dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang lima hari operasi yang dijalankan di daerah Timur Laut di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu dijalankan bermula pada 15 September lalu hingga malam tadi untuk memeriksa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di premis perniagaan yang beroperasi.

Menurutnya, individu yang dikompaun terdiri daripada 99 lelaki dan 48 wanita kerana gagal mematuhi penjarakkan fizikal dan melakukan aktiviti terlarang.

"Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan (No 8) (2020) kerana menganjurkan aktiviti terlarang di dalam pub dan pusat hiburan serta Peraturan 3, PPPPB kerana tiada penjarakkan fizikal," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

MBPP turut merampas barangan di premis yang tidak mempunyai lesen sah. -Foto Ihsan FB MBPP
MBPP turut merampas barangan di premis yang tidak mempunyai lesen sah. -Foto Ihsan FB MBPP

Soffian berkata, dalam operasi itu, lima daripada tujuh premis yang diperiksa di Lebuh Pantai, Lebuh Gereja, Lebuh Nordin, Jalan Penang, Jalan Pintal Tali dan Persiaran Gurney diarah tutup selama tujuh hari kerana tidak mengikut SOP ditetapkan.

"Sebuah premis juga diberikan notis menghentikan aktiviti hiburan dengan serta merta dan dikenakan kompaun kerana menjalankan perniagaan restoran tanpa lesen yang sah.

"Kes disiasat Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen hiburan awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis turut menahan dua lelaki tempatan di premis berasingan kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen hiburan awam yang sah dan lesen hiburan telah tamat tempoh.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan muzik yang digunakan bagi tujuan hiburan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(a) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 kerana lesen hiburan tamat tempoh," katanya.

Beliau berkata, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang juga menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 37 individu melibatkan 30 lelaki dan tujuh wanita.

"Bagaimanapun, kesemua mereka negatif dadah," katanya.

Katanya, semua peniaga dan pelanggan dinasihatkan mematuhi semua syarat perniagaan termasuk memiliki lesen perniagaan yang sah serta mematuhi SOP yang digariskan kerajaan.

"Semua pemilik pusat hiburan dan kelab malam juga dinasihatkan tidak menjalankan operasi mereka kerana ia masih lagi dalam kategori aktiviti yang tidak dibenarkan.

"Polis, MBPP dan agensi penguatkuasa lain akan terus menjalankan operasi terutamanya di restoran dan bar bagi memastikan SOP dipatuhi," katanya.