Saya tidak takut bayang-bayang sesiapa pun: Shafie Apdal

Mohd Shafie Apdal. - Foto Bernama
Mohd Shafie Apdal. - Foto Bernama
A
A
A

PAPAR - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan beliau tidak takut pada bayang sesiapa pun termasuk bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Sebaliknya beliau mengingatkan supaya pihak terbabit tidak berlindung di sebalik tabir untuk mendapatkan kuasa.

"Sejak bila saya takut pada bayang-bayang dia (Musa). Saya tidak takut bayang siapa-siapa pun.

"Kita hadapi mereka dalam pilihan raya ini. Yang penting jangan guna berlindung di belakang tabir, mahu rebut kuasa, mahu ambil kuasa," katanya pada media selepas Majlis Ramah Mesra Rakyat Papar di Dewan Masyarakat Papar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Musa yang seperti membayangi Mohd Shafie dengan sering menyebut namanya ketika berucap.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, mereka tetap akan melawan dan tidak perlu melayan setiap dakwaan terhadapnya.

"Bukan guna harta wang semata-mata, kita lawan... Dia tidak perlu saya layan," katanya.

Musa sebelum ini mengatakan Mohd Shafie sering memfitnahnya ketika berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sedangkan beliau bukan lawannya lagi kerana sudah tidak bertanding.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, hadir sama pada majlis itu calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim, DUN Pantai Manis, Datuk Yahya Ag Kahar dan DUN Musli Sapan@Mushafien.