X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: 20 kes baharu, satu kematian di Kedah

Dr Noor Hisham
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 20 kes baharu melibatkan 17 kes penularan tempatan dan satu kematian dilaporkan di Kedah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif koronavirus (Covid-19) di Malaysia kini sebanyak 10,167 kes dengan 130 kematian, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah 722.

Menurutnya, bagi 17 kes penularan tempatan, 14 kes melibatkan warga tempatan dan tiga kes bukan warganegara.

"Sebanyak sembilan kes dicatatkan di Kedah termasuk lapan kes daripada Kluster Sungai dan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah manakala lapan kes dicatatkan di Sabah.

“Tiga kes saringan rujukan ke Hospital Tawau dari Hospital Semporna yang melibatkan dua bukan warganegara; satu kes SARI di Hospital Tawau; satu kes saringan prapembedahan di Hospital Keningau; satu kes saringan komuniti di Tawau; satu kes daripada Kluster Benteng LD; dan satu kes daripada Kluster Bakau yang melibatkan bukan warganegara iaitu kluster baharu di Semporna.

“Daripada 20 kes baharu yang dilaporkan, tiga adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warga tempatan dan satu bukan warganegara dari New Zealand (satu kes di Selangor); Qatar (satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan India (satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat satu kes kematian berkaitan Covid-19 yang meninggal dunia pada jam 5.45 petang semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 130 kes iaitu 1.28 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-130 (kes ke-9,578) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 82 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit strok serta sukar bergerak sendiri sejak Mac 2020 akibat patah tulang utama di kaki.

“Beliau mengalami gejala demam pada 4 September 2020 namun tidak mendapatkan rawatan. Pada 7 September 2020, beliau telah dikesan sebagai kontak rapat kepada anak dan cucu beliau yang merupakan kes positif dalam Kluster Sungai (iaitu kes ke-9,458 dan kes ke-9,547), lalu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Saringan Covid-19 kes didapati positif pada 9 September 2020,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 12 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk dua kes memerlukan bantuan pernafasan. Selain itu, sejumlah 51 kes dilaporkan pulih Covid-19 pada hari ini dan menyumbang kepada jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 9,315 kes (91.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!