Penduduk terpaksa cari 'line' guna tiang, baldi dan tali

Tugasan dan urusan rasmi sukar sekiranya tiada capaian internet.
Tugasan dan urusan rasmi sukar sekiranya tiada capaian internet.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lebih 150 penduduk dari 35 buah rumah di Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau, di sini, terpaksa menggunakan tiang, baldi dan tali untuk menikmati kemudahan telefon serta internet, sejak lima tahun lalu.

Penduduk, Barathidhasa Veerapan, 26, berkata, tanpa peralatan itu, mereka terpaksa keluar mencari tempat tinggi semata-mata mahu menghubungi saudara atau menggunakan internet termasuk aplikasi WhatsApp dan emel bagi urusan rasmi.

Graduan Universiti Malaya dalam bidang Jurusan Bahasa dan Linguistik itu berkata, pengalamannya melalui saat sukar ketika di kampung menyebabkan dia gagal mengikuti pembelajaran secara e-learning mahupun menghantar tugasan menggunakan internet.

Barathidhasa
Barathidhasa

"Saya tak mahu adik-adik saya berasa dilema mahupun memberi kesan psikologi, kerana mereka di sini langsung tidak terdedah kepada gajet berbanding kanak-kanak lain. Sedikit sebanyak ia telah memberi kesan ke atas motivasi serta daya saing mereka.

"Dulu sekiranya nak hantar tugasan, saya kena keluar ke taman berdekatan, Taman Kelisa Ria, kira-kira enam kilometer dari sini untuk menggunakan internet atau masuk ke dalam ladang kelapa sawit dan pilih tempat paling tinggi atas bukit.

"Perkara biasa bagi kami melepak dalam kereta atau kedai makan selama berjam-jam menggunakan komputer riba dan internet semata-mata untuk siapkan kerja kerana di luar, capaian internet lebih laju," katanya.

Artikel Berkaitan:

Penduduk Kampung Kongsi 14 Bukit Selambau yang sukar menikmati kemudahan telekomunikasi dan internet.
Penduduk Kampung Kongsi 14 Bukit Selambau yang sukar menikmati kemudahan telekomunikasi dan internet.

Dia yang kini telah bekerja berkata, idea menggunakan tiang, baldi dan tali adalah cetusan bersama ketika abangnya, Gobinath Rajendran, 31, ingin menguruskan penternakan ayam yang terletak di Bedong.

"Bila difikirkan setiap kali nak kena naik bukit untuk telefon dan hubungi pembekal, kami rasa penat, jadi kami buat tiang tinggi dan naikkan modem menggunakan tali.

"Bila buka hotspot, baru boleh guna internet," katanya.

Namun, menurutnya, modem sering diganggu kumpulan monyet menyebabkanya terjatuh dan rosak hingga perlu diganti.

Pelajar Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi, Siti Nor Dalilawati Syahrin, 20, pula berkata, kegagalan mendapatkan capaian internet menyebabkan dia sering ketinggalan mengikuti kelas secara dalam talian ketika balik bercuti.

"Saya kena tunggu ayah balik kerja baru boleh keluar cari tempat sesuai untuk hantar tugasan kepada pensyarah, kalau harapkan di rumah, kena pusing cari tempat tinggi baru dapat," katanya.

Siti Nor Dalilawati
Siti Nor Dalilawati

Pelajar tahun kedua itu berkata, dia bimbang mendapat markah kurang kerana tugasan yang diminta seringkali lewat diterima pihak kolej berikutan capaian internet yang agak lembab.

"Baru-baru ini kena Perintah Kawalan Pergerakan, jadi 'presentation' pun kena lakukan dari rumah, itu yang menjadi masalah," katanya.

Seorang penduduk, Mariayee Kanan, 60, yang menghidap kanser dan sakit jantung berkata, keadaannya yang sering lemah dan tidak sedarkan diri memerlukan dia mendapatkan rawatan dengan segera.

Mariayee penghidap kanser dan sakit jantung perlu mendapatkan rawatan sekiranya berdepan situasi cemas.
Mariayee penghidap kanser dan sakit jantung perlu mendapatkan rawatan sekiranya berdepan situasi cemas.

"Mereka banyak kali hubungi ambulan tetapi selalu gagal sebab 'line' tidak lancar, kadang-kadang tengah cakap telefon pun boleh terputus, kena dail semula.

"Sebabkan sukar panggil ambulan jadi mereka cuba cari kereta dan hantar saya ke hospital kira-kira 20 minit dari sini," katanya.

Keadaan itu menjadi cemas sekiranya terdapat berita kecemasan ataupun kematian dari luar kampung kerana sering terlepas perkhabaran terkini ahli keluarga yang berada di luar.

Disebabkan itu, penduduk memohon kerajaan prihatin terhadap keperluan mereka yang mengharapkan perubahan dari segi teknologi khususnya capaian internet.

Ia juga untuk generasi muda kampung dapat merasai kecanggihan teknologi agar tidak dipinggirkan dari kemajuan negara.

Dari maklumat penduduk mengatakan, terdapat beberapa kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah sampai ke kampung mereka menjalankan siasatan berhubung perkara itu hari ini.

Yasogan Rajendran, 23, (tengah) menunjukkan tiang yang dipasang baldi dan tali sebagai cara mendapatkan internet.
Yasogan Rajendran, 23, (tengah) menunjukkan tiang yang dipasang baldi dan tali sebagai cara mendapatkan internet.