X

Kindly register in order to view this article
!

TSC kekal rentak cemerlang

Bendahari PKBM, Amrun Misnoh (kiri) bergambar bersama pemenang acara ITT elit lelaki di Bukit Katil hari ini.
A
A

SAPURA Cycling Team (TSC) mengesahkan status pasukan elit Malaysia apabila dua pelumba tonggaknya menguasai acara ujian masa individu (ITT) Kejohanan Lebuhraya Kebangsaan 2020 sejauh 45 kilometer (km) di Rumah Melaka, Bukit Katil hari ini.

Selepas mendominasi acara ujian masa berpasukan (TTT) semalam, TSC meneruskan rentak gemilang apabila Muhammad Nur Aiman Rosli muncul juara ITT kebangsaan dengan catatan masa 59 minit 30.299 saat (s) untuk meninggalkan rakan sepasukannya, Akmal Hakim Zakaria dengan kelebihan 15s.

Apa yang jelas, percaturan Terengganu Cycling Team (TSG) untuk memecah dominasi TSC dalam dua acara iaitu TTT dan ITT tidak menjadi kenyataan apabila dua pelumba mereka, Irwandie Lakasek dan Muhammad Afiq Huznie Othman hanya menduduki tempat ketiga serta keempat dengan catatan masa 1:00.33.157s dan 1:01.12.241s.

Kejayaan TSC hari ini bermakna anak-anak buah Mohd Sayuti Zahit menepati ramalan awal selepas berikrar mahu menyapu bersih dua kategori yang dipertandingkan pada hari pertama dan kedua selain menafikan penguasaan TSG.

Namun, TSG yang selama ini dianggap pasukan elit utama di negara ini masih berpeluang untuk membalas dendam menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki 182km dan harapan itu sudah semestinya disandarkan di bahu Mohd Zamri Salleh dan Mohd Harrif Salleh.

Dominasi TSC sebenarnya bermula pada awal pagi apabila dua pelumba, Mohammad Saari Amri Abd Rasim dan Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri muncul juara ITT kategori Bawah 23 Tahun sejauh 45km.

Mohammad Saari Amri mencatat masa 59:58.863s manakala Muhammad Shaiful Adlan keciciran hanya 42.308s di belakanganya.

Kategori ITT elit wanita sejauh 30km pula menyaksikan berlaku kejutan apabila pelumba Johor A, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad menafikan penguasaan Terengganu A apabila muncul juara dengan rakaman masa 45:57.104s manakala tonggak Selangor A, Nurqadrina Emylia Norzali menduduki tempat kedua keciciran 1.48.504s.

Seorang lagi pelumba Selangor A, Nurul Nazirah Mohd Rosli melengkapkan kemenangan podium apabila menduduki tempat ke-3 dengan catatan masa 47:57.626s.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab bagaimanapun mengaku tidak berpuas hati dengan kejayaan TSC atau TSG.

“Saya mahu pencapaian yang dilakukan oleh pelumba Sapura dan TSG diulang di Vietnam (temasya Sukan SEA 2021) nanti. Tidak guna handal di negara sendiri. Kita harus berjaya pada peringkat Sukan SEA 2021,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!