'Terima kasih Zamburger'

Mohd Badhri nyata gembira apabila masalah pembayaran gajinya selesai.
Mohd Badhri nyata gembira apabila masalah pembayaran gajinya selesai.
A
A
A

"TERIMA kasih Zamburger". Itu reaksi bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi selepas pemilik baharu The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman atau Zamburger melangsaikan semua bayaran hutang lapuk kepadanya semalam.

Mohd Badhri berkata, beliau bersyukur apabila masalah yang menghantuinya sebelum ini menemui titik noktah biarpun terpaksa menunggu untuk beberapa ketika sebelum ini.

"Saya bersyukur dan berterima kasih (kepada Zamburger) di atas pembayaran ini. Begitu juga kepada semua pihak termasuklah barisan exco Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang telah untuk melunaskan bayaran hutang sebelum ini," katanya.

Menurutnya, sikap terpuji Zamburger itu membuktikan beliau tidak bercakap kosong.

Beliau memberitahu, usahawan burger dan pakar pelaburan itu mengotakan janji untuk 'mencuci' semua hutang lapuk yang membelenggu TRW sebelum ini.

Sementara itu, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) memuji gerak kerja dan usaha Zamburger 'mencuci' hutang lapuk TRW itu.

Presidennya, Mohd Nurul Md Yusoh berkata, usaha tersebut memperlihatkan komitmen tinggi anak jati Johor itu untuk memulihkan semula imej TRW.

"Saya tabik kepada Zamburger kerana sanggup menjadi penyelamat TRW dengan membeli keseluruhan pegangan saham dalam pasukan itu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemilik baharu TRW lunas hutang lapuk KAFA

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian semalam melaporkan, meskipun baharu tiga minggu menggalas tanggungjawab sebagai pemilik TRW Zamburger mengotakan janji 'mencuci' hutang lapuk pasukan itu apabila mengeluarkan belanja berjumlah RM3.6 juta untuk urusan tersebut.

Bayaran itu melibatkan hutang 15 bekas pemain dan pegawai yang pernah menabur bakti bersama TRW bermula dari musim 2017, 2018 dan 2019.

Antara pemain yang terlibat ialah Khairul Fahmi Che Mat, Branden Gan, Flavio Beck Junior, Bruno Lopez, Alaeddine Bouslimi, Alessandro Celin, Seydi L Imam, Mohd Farish Shah Rosli, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Nor Farhan Mohamad.

Barisan pegawai pula merangkumi Sathit Bensoh, Mohd Hisham Jainuddin dan Mohd Hashim Mustapa serta itu turut melibatkan pengendali pasukan musim ini iaitu Yusri Che Lah.

Kesemua tunggakan hutang itu berjumlah RM2.4 juta yang dibayar secara penuh kepada semua bekas pemain dan pegawai yang terlibat.