93 individu ingkar PKPP: Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 93 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan 85 dikompaun manakala lapan lagi direman.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan dikesan ialah tidak memakai pelitup muka iaitu seramai 33 individu, diikuti 32 individu berkaitan penjarakkan fizikal dan 14 individu bagi aktiviti dalam pub dan kelab malam.

“Bagi premis beroperasi tanpa kebenaran melibatkan seramai tujuh individu, enam gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri manakala seorang dikesan gagal kemukakan surat kebenaran keluar/masuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan PKPP di sini hari ini.

Berhubung berita palsu koronavirus (Covid-19), beliau berkata, sehingga semalam, sebanyak 268 kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 131 masih dalam siasatan manakala 35 kes telah didakwa di mahkamah, 12 diberikan notis amaran, 16 dalam proses perbicaraan dan 19 telah mengaku bersalah.

“Pada masa yang sama, sebanyak 370 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19,” katanya.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 65 pendatang asing, tiga tekong dan seorang penyeludup ditahan ketika cuba menyusup masuk ke dalam negara semalam manakala 14 kenderaan darat turut dirampas dalam operasi itu.

Beliau berkata, 82 sekatan jalan raya dilaksanakan dalam operasi berkenaan, melibatkan PDRM, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 30,717 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 70 hotel serta lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 9,753 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 20,893 individu telah dibenarkan pulang. - Bernama