Suami pulang dari Lubnan akur tak dapat peluk jenazah isteri

Foto dimuat naik dalam Facebook MALBATT 850-7. Gambar kecil: Allahyarham Norhidayah bersama suaminya, Lans Koperal Mohd Noh.
Foto dimuat naik dalam Facebook MALBATT 850-7. Gambar kecil: Allahyarham Norhidayah bersama suaminya, Lans Koperal Mohd Noh.
A
A
A

KUALA PILAH - Patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, seorang anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) akur tidak dapat memeluk jenazah isterinya sebelum dikebumikan di Air Mawang di sini semalam.

Lans Koperal Mohd Noh Samsudin, 25, dibenarkan untuk memberi penghormatan terakhir kepada isterinya, Allahyarham Norhidayah Amishammudin, 25, dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, bagaimanapun perlu mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE).

Ibu Allahyarham, Norzita Lemchek, 49, berkata, menantunya itu sepatutnya menamatkan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) di Lubnan pada awal bulan hadapan.

"Noh bagaimanapun terpaksa pulang awal disebabkan keadaan isterinya yang kritikal sejak seminggu lalu.

"Walaupun dia mendarat awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun tidak terkecuali melalui SOP ditetapkan KKM berikutan wabak Covid-19," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Rumah Rakyat Air Mawang di sini hari ini.

Norzita berkata, suasana sayu ketika pengebumian jenazah anaknya apabila melihat menantunya itu terpaksa berpakaian PPE untuk melihat jenazah isterinya buat kali terakhir.

Norzita menunjukan gambar kenangan arwah anaknya bersama Mohd Nor.
Norzita menunjukan gambar kenangan arwah anaknya bersama Mohd Nor.

"Noh tidak dapat lama di sini sebab perlu pulang semula ke pusat kuarantin selain pergerakannya terhad kerana akur dengan SOP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai anaknya, Norzita berkata, Allahyarham sebelum ini disahkan menghidap sakit buah pinggang sejak tiga tahun lalu, namun seminggu terakhir ini doktor mengesahkan anaknya itu mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

"Arwah banyak kali menyebut rindukan suaminya. Rindu sebab Noh bertugas jauh di luar negara. Namun, tidak sangka arwah pergi terlebih dahulu tanpa sempat menatap wajah suami," katanya.

Pasangan berkenaan telah berkahwin tiga tahun lalu, bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Makam Tok Gobah, Air Mawang semalam.

Terdahulu, laman Facebook MALBATT 850-7 memuat naik status seorang anggota PBB UNIFIL MALBATT 850-7 kehilangan isteri tercinta yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, kira-kira jam 7 petang kelmarin.

Posting tersebut sehingga kini mendapat pelbagai reaksi daripada pelayar Facebook yang simpati dan mengucapkan takziah.

PENGHORMATAN TERAKHIR SUAMI BUAT ISTERI TERSAYANG; ANGGOTA MALBATT 850-7 Kehilangan insan yang dicintai sangat...

Posted by MALBATT 850-7 on Friday, September 18, 2020