Gangguan air: MP Wangsa Maju kota janji saman empat agensi

Yee Yew (tengah) bersama barisan peguam dan sebahagian pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air disebabkan pencemaran Sungai Gong 3 September lalu.
Yee Yew (tengah) bersama barisan peguam dan sebahagian pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air disebabkan pencemaran Sungai Gong 3 September lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew mengotakan janjinya untuk mengambil tindakan perundangan ke atas agensi berkaitan yang gagal menjalankan tugas sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang pada 3 September lalu.

Yee Kew bersama pasukan perundangan terdiri daripada lima firma guaman hari ini menyenaraikan empat agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang perlu bertanggungjawab menyebabkan gangguan bekalan air kepada 1.2 juta pengguna.

Sebagai permulaan, katanya, tempoh dua bulan diperuntukkan untuk mengumpulkan 500 hingga 1,000 pengguna yang terjejas bagi tuntutan kerugian disebabkan gangguan air tidak berjadual itu.

Menurutnya, alasan gangguan bekalan air kali ketujuh berlaku dalam tempoh 14 bulan sejak Julai 2019 itu adalah disebabkan paip pecah dan pencemaran tidak boleh diterima.

"Setiap kali berlaku gangguan air, kita lihat hanya pemilik dan pekerja kilang akan didakwa kerana mencemarkan sungai sebelum insiden sama berulang beberapa bulan kemudian.

"Kita merasakan pihak yang menjaga sumber air mentah adalah pihak yang perlu dipertanggungjawabkan atas kecuaian mereka ketika menjalankan tugas dan gagal menjaga sumber air hingga menyebabkan berlakunya pencemaran," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Jalan Taman Danau Kota di sini hari ini.

Yee Kew (tengah) bersama barisan peguam pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini berhubung tindakan perundangan bakal diambil ke atas agensi terlibat disebabkan gangguan bekalan air di Lembah Klang pada 3 September lalu.
Yee Kew (tengah) bersama barisan peguam pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini berhubung tindakan perundangan bakal diambil ke atas agensi terlibat disebabkan gangguan bekalan air di Lembah Klang pada 3 September lalu.

Yee Kew berkata, gangguan bekalan air menjejaskan banyak pihak termasuk orang perseorangan, keluarga selain pengilang dan sektor perniagaan.

Artikel Berkaitan:

"Ada penduduk di pangsapuri yang tidak mempunyai lif terpaksa menaiki tangga untuk angkut air. Tak kurang juga terpaksa beratur panjang menunggu lori tangki air sampai serta kesukaran kepada keluarga yang mempunyai ramai anak.

"Gangguan air juga memberikan kesan kepada industri perniagaan, kilang, restoran, dobi dan penjaja yang ada antaranya tidak dapat beroperasi.

"Turut terkesan pesakit buah pinggang tidak dapat melakukan dialisis disebabkan pusat dialisis tidak beroperasi ketika berlakunya gangguan air," katanya.

Menurutnya, beliau menganggarkan kerugian ditanggung bagi isi rumah adalah sekitar RM300, manakala pengilang sekitar RM3,000 bergantung keperluan harian termasuk kos pembelian air.

Justeru, beliau berkata, pengguna yang berhasrat untuk mengemukakan tuntutan boleh tampil di firma guaman Messrs Calvin Khoo di Plaza Kelana Jaya, Messrs Fithril Halim & Co Kiara di Jalan Kiara, Messrs Wun, Lee & Partners MH Avenue di Jalan Genting Klang, Saha & Associates di Wisma Bandar Tunku Abdul Rahman dan Prekeas & Partners di Jalan Universiti dengan yuran guaman serendah RM20.

Yee Kew sebelum ini menyuarakan hasrat mengambil tindakan perundangan kepada agensi terlibat termasuk pengendali perkhidmatan bekalan air selepas kecewa dengan gangguan bekalan air berulang disebabkan pencemaran.

Dalam kejadian 3 September lalu empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dan Rantau Panjang dihentikan operasi susulan pencemaran air mentah susulan pelepasan pelarut di Sungai Gong disyaki dari sebuah kilang penyelenggaraan jentera.