X

Kindly register in order to view this article
!

Hawar berdarah: Vaksin penting dan ia percuma

Lembu sado yang diternak Nor Faizi dan abangnya di Pusat Pengembangan Lembu Sado seluas enam hektar di Bukit Parit, Marang.
A
A

MARANG - Kita tidak tahu bila penyakit akan datang jadi jika mahu selamat saya vaksinkan semua lembu peliharaan sebagai langkah awal pencegahan, kata penternak lembu sado, Nor Faizi Mamat, 24, dari Kampung Bukit Parit di sini.

Menurutnya, kesedaran kepentingan menyuntik vaksin bermula sejak lima tahun lalu selepas lembunya dijangkiti Penyakit Kuku dan Mulut (FMD) dan dari situ beliau rajin mencari ilmu pengetahuan tentang penjagaan ternakan yang betul.

Beliau berkata, bermula dari situ beliau juga sedar penyakit seperti FMD dan hawar berdarah atau Heamoragic Septicaemia (HS) yang menjadi igauan ngeri buat penternak lembu sepertinya boleh dicegah sekiranya diberi vaksin.

“Ketika itu saya baru dua tahun ternak lembu, jadi ilmu masih kurang. Mujurlah hanya FMD dan lembu boleh dirawat, saya bimbang jika dijangkiti HS kerana lembu boleh mati dalam tempoh empat hingga lapan jam.

“Sejak itu, dengan maklumat daripada pegawai veterinar dan rakan-rakan penternak lain saya vaksinkan lembu peliharaan saya setiap tahun dan ia tidak membebankan kerana suntikan diberi percuma oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Kita hanya perlu mohon di pejabat veterinar daerah, sediakan lembu di kandang dan mereka akan datang suntik pada tarikh diberi. Cuma buat masa sekarang, 10 ekor lembu belum divaksin tahun ini kerana bunting,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohd Nazri bersama lembu sado yang ada di kandang mereka.
Mohd Nazri bersama lembu sado yang ada di kandang mereka.

Sehingga kini, Nor Faizi yang merupakan penternak muda berjaya mempunyai 29 ekor lembu sado baka Charolis dan Limosin dengan keseluruhan haiwan itu bernilai lebih RM500,000.

Kesemua lembu tersebut diternak di Pusat Pengembangan Lembu Sado seluas enam hektar di Bukit Parit dan ia diusahakan bersama abangnya, Mohd Nazri Mamat, 31, sejak tahun 2013.

Nor Faizi berkata, isu HS yang mengorbankan puluhan ekor lembu dan kerbau di Marang dan Kuala Terengganu sejak kebelakangan ini turut membimbangkan kerana wabak itu boleh mendatangkan kerugian besar kepada penternak.

Nor Faizi bersama salah seekor lembu sado yang diternaknya.
Nor Faizi bersama salah seekor lembu sado yang diternaknya.

Katanya, walaupun sudah memberi suntikan vaksin, beliau bersama abangnya tetap mengambil langkah pencegahan tambahan dengan memandikan lembu lebih kerap dan membasuh kandang menggunakan cecair pembasmi kuman khas.

“Selain itu, kami juga hadkan jumlah pengunjung yang mahu datang ke kandang dan tidak membenarkan mereka dari kawasan wabak datang sehingga keadaan kembali pulih.

“Sebagai penternak, molek sekiranya kita ikut saranan JPV agar memberi suntikan vaksin kepada haiwan ternakan supaya penyakit dapat dicegah apatah lagi ia diberikan secara percuma. Kita hanya perlu mohon saja,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerbau Mowgli Malaysia mati kerana hawar berdarah

36 kerbau Mowgli Malaysia mati bergelimpangan

Lima lagi kerbau Syukur mati, kandang ditutup elak jangkitan wabak


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!