(BERGAMBAR) KKMM keluarkan 370 pemakluman berita palsu berkaitan Covid-19

A
A
A
KOTA KINABALU - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengeluarkan 370 pemakluman berita palsu berkaitan pandemik Covid-19 di seluruh negara setakat ini.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ini termasuk berita palsu melibatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Ia dikesan hasil pemantauan Pasukan Respons Pantas (PRP) yang bertanggungjawab memantau berita palsu tersebar di media sosial.

"PRP ini bertugas untuk memantau berita-berita palsu khususnya yang melibatkan agensi kerajaan yang perlu diperbetulkan dan diberi maklumat yang sahih," katanya kepada pemberita selepas membuka ‘Sabah Election Media Lounge’ di sini hari ini.

Katanya, ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini pula, PRP turut memantau berita-berita palsu agar pilihan raya itu dapat berjalan dengan aman dan tenteram.
Artikel Berkaitan:


Mengenai Sabah Election Media Lounge itu, Saifuddin berkata, ia bukan pusat media rasmi sebaliknya tempat santai untuk wartawan menghantar berita sambil menikmati suasana yang tenang.

“Ini adalah tempat bagi para wartawan untuk relaks dan bekerja pada waktu yang lebih fleksibel,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Suriani Ahmad.- Bernama