Identiti dua beranak maut nahas lori dikenal pasti

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

IPOH - Identiti dua beranak yang maut dalam kemalangan lori di Kilometer 20 Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands semalam telah dikenal pasti.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Zakaria Abd Rahman berkata, mangsa ialah warga Indonesia, Riya Mohd Afit, 45, dan anak lelakinya, Tamin Fardan Mohd Elias, 3.

Menurutnya, identiti kedua-dua mangsa diperoleh menerusi akuan mulut suami mangsa, Mohd Zuki Abu Bakar, 45, yang juga pemandu lori tersebut.

"Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit dalam kenderaan berat itu hampir tiga jam, sebelum berjaya dikeluarkan.

"Mayat dua beranak itu telah pun dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat sementara lelaki itu yang mengalami kecederaan koyak tisu di bahagian paha menerima rawatan lanjut di hospital sama," katanya.

Dalam kejadian sekitar 2.40 petang itu, lori muatan batang besi dipandu Mohd Zuki dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala Cameron Highlands hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri bahu jalan dan melanggar tebing batu.

Keadaan itu menyebabkan isteri serta anak tirinya tersepit di bahagian hadapan penumpang sebelum disahkan meninggal dunia.

Zakaria berkata, siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan spesimen darah pemandu juga diambil untuk ujian toksikologi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Wanita, anak lelaki maut tersepit dalam lori