Asap belenggu penduduk Taman Chendor Perdana

Andansura mendengar aduan penduduk mengenai pembakaran terbuka di kawasan berhampiran Taman Perumahan Chendor Perdana semalam.
Andansura mendengar aduan penduduk mengenai pembakaran terbuka di kawasan berhampiran Taman Perumahan Chendor Perdana semalam.
A
A
A

KUANTAN - Lebih 500 penduduk Taman Chendor Perdana dibelenggu masalah asap berikutan pembakaran terbuka di kawasan itu sejak beberapa hari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, masalah itu timbul selepas ada pihak yang tidak bertanggungjawab bertindak membuat pembakaran terbuka selepas melakukan pembersihan di kawasan itu.

"Semalam saya terima aduan ini dan terus ke lokasi. Saya dapati penduduk di kawasan perumahan di sempadan Kemaman dan Chendor terpaksa berdepan dengan masalah asap.

"Tinjauan saya ke tempat pembakaran mendapati tanah seluas empat hektar itu dipercayai milik persendirian telah dibakar bagi tujuan pembangunan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas menerima aduan daripada penduduk.

Katanya, pihak bomba tidak dapat memadam secara keseluruhan kawasan itu kerana tidak mempunyai sumber air mencukupi bagaimanapun langkah pengawalan kebakaran telah diambil.

"Pihak JAS pula akan membuat semakan berhubung status tanah dan tindakan yang akan diambil bagi memastikan tiada lagi pembakaran terbuka di kawasan itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia akan mengganggu penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

"Saya minta kerjasama semua pihak sama ada individu atau pemilik tanah agar tidak membuat pembakaran terbuka selepas melakukan pembersihan tanah," katanya.