X

Kindly register in order to view this article
!

NS cadang denda pelaku buang sisa kimia dinaikkan RM2 juta

Tuanku Muhriz (depan, tiga dari kanan) melakukan gimik pelancaran World Cleanup Day dan Pelancaran Kempen Negeri Sembilan Bersih di Taman Malaysia sambil diperhatikan Aminuddin (depan, dua dari kanan).
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mencadangkan denda ke atas pihak tidak bertanggungjawab melepaskan sisa buangan atau buangan terjadual ke perairan daratan dan perairan negara ini mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM2 juta.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia bertepatan dengan beban kos tinggi yang terpaksa ditanggung syarikat pembekal air dan agensi yang terlibat serta kesengsaraan yang dialami orang ramai.

Menurutnya, peristiwa pembuangan sisa industri atau buangan terjadual ke dalam sebuah sungai di Selangor baru-baru ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

"Di Negeri Sembilan, pada tahun 2019 dan tahun ini juga ada tiga peristiwa sama termasuk dua daripadanya menyebabkan loji rawatan air Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) terpaksa ditutup hingga mengakibatkan gangguan bekalan air melebihi tempoh 24 jam di beberapa kawasan.

"Kos pembersihan sungai yang terlibat dalam kes ini mencecah lebih daripada RM200,000 tidak termasuk kos gaji pekerja, kos penghantaran air ke lokasi yang terjejas serta kerugian hasil kepada Sains sendiri akibat terputusnya bekalan air bersih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program World Cleanup Day dan Pelancaran Kempen Negeri Sembilan Bersih oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Taman Malaysia hari ini.

Turut berangkat ialah kedua-dua putera baginda Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Datuk Seri Zain Al-'Abidin.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga menawarkan ganjaran RM10,000 kepada pemberi maklumat tentang pembuangan sisa industri atau buangan terjadual sehingga tertangkapnya pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pencemaran di sungai.

"Bagi memastikan kebersihan di Negeri Sembilan terus dipelihara, kerajaan negeri turut melancarkan kempen amalan baik penggunaan dan pembuangan pelitup muka.

"Kita juga dalam perancangan melaksanakan dua kaedah utama kawalan iaitu dengan pemasangan perangkap sampah di longkang dan pemasangan 'logboom' di sungai," katanya.

Katanya, dari tahun 2018 hingga tahun ini, sebanyak empat kes melibatkan pembuangan sampah secara haram telah berjaya didakwa di mahkamah melibatkan denda keseluruhan bernilai RM56,000.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!