PH laksana polisi berteraskan kebajikan rakyat di Sabah, kata Wan Azizah

Dr Wan Azizah Wan Ismail
Dr Wan Azizah Wan Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) bersama Pakatan Harapan (PH) melaksanakan polisi berteraskan kebajikan rakyat ketika memerintah negeri itu dalam tempoh 22 bulan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk membantu masyarakat di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Beliau yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan PH dahulu sentiasa mengutamakan kebajikan yang saksama.

"Di bawah portfolio saya sendiri, saya telah memberi geran RM10 juta untuk penubuhan 65 buah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) antaranya di Jabatan Penjara Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah dan Jabatan Cetak Kerajaan Sabah.

“Pada tahun lalu, kerajaan PH telah membantu seramai 496,518 orang penerima bantuan di seluruh negara melalui peruntukan sebanyak RM1.765 bilion di bawah Bantuan Sosio Ekonomi JKM.

“Daripada jumlah itu, RM165 juta telah diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA Sabah) yang memberi manfaat kepada 40,743 orang penerima bantuan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Wan Azizah berkata, beliau turut terkesan dengan masalah pembangunan di Sabah dan ingin menasihati kerajaan hari ini supaya meneruskan usaha murni kerajaan PH dalam merencana pembangunan di Sabah dan Sarawak.

"Jangan menghina rakyat Sabah yang kreatif mencari internet kerana kelemahan kerajaan Persekutuan menyediakan infrastruktur yang selengkapnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu turut mengambil cakna masalah yang dihadapi oleh rakyat Sabah yang berada di Semenanjung yang ingin pulang mengundi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada syarikat penerbangan untuk memberi diskaun khas kepada mereka atas dasar semangat patriotisme dan cintakan tanah air yang wajar ditunjukkan syarikat penerbangan tanah air.