Calon DUN Petagas tekad perkasa golongan wanita di Putatan

Arsit bersama jentera pilihan raya di di Kampung Tengah Padang, Petagas, Putatan.
Arsit bersama jentera pilihan raya di di Kampung Tengah Padang, Petagas, Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas mewakili Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Arsit Sedi @ Sidik bertekad untuk memperkasakan golongan wanita terutama ibu tunggal di Putatan.

Beliau menyedari bahawa peranan wanita amat penting dalam menjana pendapatan keluarga, namun ia perlu mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

"Saya mahu fokus kepada golongan ibu tunggal supaya mereka ini tidak ketinggalan daripada terlibat dalam aktiviti ekonomi yang dijalankan di kawasan DUN Petagas ini.

"Usaha ini lebih berhasil jika ada penglibatan daripada pelbagai pihak seperti persatuan nelayan atau persatuan peladang supaya mereka mendapat bimbingan, seterusnya dapat menjana ekonomi keluarga mereka," katanya ketika ditemui di Kampung Tengah Padang di sini malam tadi.

Beliau berkata, golongan wanita khasnya perlu mengambil peluang untuk mencipta dan memasarkan pelbagai produk yang terdapat di negeri.

 Arsit Sedi @ Sidik
Arsit Sedi @ Sidik

"Di Sabah ini, bila bercakap mengenai nelayan, banyak yang boleh diterokai dalam sektor perikanan.

"Produk berasaskan ikan boleh dipelbagaikan dan golongan wanita perlu mengambil peluang untuk menghasilkan produk masing-masing berasaskan sumber yang kita ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai perjalanan kempen yang berlangsung selama hampir seminggu, Arsit berkata, beliau sudah mula turun padang sebaik sahaja hari penamaan calon selesai pada Sabtu lalu.

"Saya turun padang dari Kampung Padang Tengah hingga ke Lok Kawi dan saya kenal pasti masalah yang dihadapi rakyat.

"Lok Kawi adalah kawasan berbukit, namun sering dilanda banjir. Hal ini disebabkan DUN Petagas adalah kawasan pinggir bandar yang menjadi tarikan untuk dijadikan kediaman atau pembinaan rumah.

"Apabila tanah ditimbus tinggi akan menyebabkan berlakunya banjir kerana sistem perparitan tidak teratur. Jadi ini adalah agenda utama saya juga mengatasi masalah yang dihadapi rakyat di kawasan ini," katanya.

Terdahulu, hadir sama dalam majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.