Wanita rugi RM2,750 ditipu urusan ambil anak angkat

Mangsa menerima gambar tiga bayi yang dihantar melalui WhatsApp untuk pilihan dan telah memilih salah seorang daripadanya iaitu bayi perempuan untuk dijadikan anak angkat. Gambar kecil:Mohd Wazir Mohd Yusof
Mangsa menerima gambar tiga bayi yang dihantar melalui WhatsApp untuk pilihan dan telah memilih salah seorang daripadanya iaitu bayi perempuan untuk dijadikan anak angkat. Gambar kecil:Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita kerugian RM2,750 didakwa ditipu dalam urusan pengambilan anak angkat yang tidak wujud pada bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Susperintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 41 tahun dari Lipis itu berurusan dengan seorang wanita yang juga kenalannya menerusi telefon pada 4 Ogos lalu bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, mangsa menerima gambar tiga bayi yang dihantar melalui WhatsApp untuk pilihan dan telah memilih salah seorang daripadanya iaitu bayi perempuan untuk dijadikan anak angkat.

"Bagi mendapatkan bayi berkenaan, mangsa perlu membayar RM4,000 dengan wang pendahuluan RM1,500.

"Mangsa telah membayar wang pendahuluan RM1,000 pada hari yang sama dan bayaran kedua RM200 pada 7 Ogos lalu ke dalam akaun bank yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, setelah pembayaran pendahuluan dibuat, suspek meminta maklumat peribadi mangsa dan suami termasuk kad pengenalan dan sijil perkahwinan.

"Mangsa menyerahkan maklumat dan salinan dokumen diminta bersama baki bayaran pendahuluan RM300 sebelum diminta membuat bayaran RM500 untuk wang memproses dokumen kelahiran bayi berkenaan dan dia membuat bayaran berkenaan.

"Selain itu, mangsa turut membuat bayaran tambahan RM250 bagi mempercepatkan proses pengambilan anak angkat itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selepas bayaran diterima, suspek maklumkan pihaknya telah berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan sijil kelahiran itu, namun gagal kerana sistem tergendala.

"Pada 27 Ogos lalu, suspek menghubungi mangsa memberitahu prosedur pembeli akan dikenakan bayaran sebanyak RM500 dan dia membuat bayaran itu pada hari yang sama.

"Dalam proses itu mangsa telah membuat bayaran keseluruhan RM2,750 melalui lapan transaksi pemindahan wang," katanya.

Beliau berkata, selepas semua bayaran diminta, mangsa mula curiga apabila suspek memberi pelbagai alasan dan urusan pengambilan anak angkat itu masih belum selesai.

"Mangsa syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Lipis semalam untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.