Pusat Usahawan IKS Bachok inovasi kerepek labu lapan perisa

Abdul Azziz (kiri) menandatangani plak bagi menyempurnakan perasmian Industri Kerepek Labu di Beris Lalang, Bachok semalam.
Abdul Azziz (kiri) menandatangani plak bagi menyempurnakan perasmian Industri Kerepek Labu di Beris Lalang, Bachok semalam.
A
A
A

BACHOK - Kerepek labu lapan perisa bakal memberi saingan kepada makanan ringan keluaran industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini apabila Pusat Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bachok di sini mengambil inisiatif memperkenalkan perusahaan kerepek berkenaan sejak sebulan lalu.

Kerepek hasil idea Noriza Rosdi, 43, itu boleh didapati dalam pelbagai perisa termasuk tomyam, lada hitam, kari, keju dan original yang kini turut mendapat permintaan tinggi di Kelantan.

Pengerusi Pusat Usahawan IKS Kelantan, Mohd Rahim Mat Ali berkata, buah labu merupakan antara tanaman hiliran diusahakan penduduk setempat dengan perusahaan kerepek berkenaan ketika ini diusahakan Noriza dibantu suaminya, Mohd Zain Yusof, 61, bersama lima pembantu yang diproses di bengkel kerepek labu dekat Beris Lalang, Bachok.

“Kerepek labu ini dapat meningkatkan ekonomi penanam labu di sekitar kawasan ini,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Industri Kerepek Labu Pusat Usahawan IKS Bachok semalam.

Majlis dirasmikan Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Abdul Azziz Kadir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat.

Hadir sama, Setiausaha IKS Bachok, Hambali Hassan.

Sementara itu, Abdul Azziz menyambut baik usaha pusat IKS berkenaan yang mempelbagaikan hasil pertanian selaras dengan hasrat kerajaan memanfaatkan sumber tanaman setempat.

“Kerajaan juga mahu lahirkan usahawan tempatan dan inovasi sebegini membantu masyarakat sekitar meningkatkan sumber ekonomi keluarga selain boleh promosikan Bachok yang popular dengan produk pertanian,” katanya.

Artikel Berkaitan: