Persimpangan bertingkat bandar Serenia dibuka hari ini

Menteri Kerja Raya Baru Bian (tengah) memyempurnakan perasmian Persimpangan Bertingkat Bandar Serenia hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kerja Raya Baru Bian (tengah) memyempurnakan perasmian Persimpangan Bertingkat Bandar Serenia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
SEPANG - Persimpangan bertingkat Bandar Serenia yang menelan kos kira-kira RM108 juta di Km 35 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dibuka kepada pengguna jalan raya hari ini.

Persimpangan bertingkat yang menghubungkan Lebuhraya Elite dengan Pekan Dengkil dan Kota Warisan menerusi Jalan Persekutuan Salak Tinggi-Putrajaya itu terletak di antara persimpangan bertingkat Nilai Utara dan persimpangan bertingkat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Kerja Raya Baru Bian dalam ucapan perasmiannya berkata pembukaan persimpangan bertingkat Bandar Serenia mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan bagi kawasan Dengkil, Kota Warisan, Bandar Serenia, Ampar Tenang, Salak Tinggi dan sekitarnya.

“Persimpangan bertingkat Bandar Serenia memendekkan jarak perjalanan penduduk Kota Warisan dan Pekan Dengkil untuk memasuki lebuh raya. Sebelum ini penduduk di kawasan berkenaan perlu melalui plaza tol Nilai, KLIA atau Putrajaya," katanya.

Persimpangan bertingkat berkenaan dilengkapi sebuah plaza tol berkapasiti 10 lorong, surau, tandas awam, wakaf dan kawasan meletak kenderaan. Ia merupakan persimpangan bertingkat ke-110 dalam rangkaian Lebuhraya PLUS.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Bhd, Datuk Azman Ismail ketika bercakap kepada media berkata persimpangan bertingkat berkenaan menggunakan teknologi hijau dan terkini.

"Antaranya ialah penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) di lampu jalan, lampu bangunan dan lampu pejabat serta teknologi mengumpul air hujan di mana air hujan disimpan di dalam tangki khas dan kemudiannya digunakan untuk menyiram pokok dan membersih kawasan sekitar," katanya. - Bernama