Penyeludup lari bawa tong berisi petrol

PGA Batalion 7 berjaya merampas sebuah kereta yang digunakan untuk menyeludup minyak ke negara jiran berhampiran pangkalan haram Bahaman, Tumpat
PGA Batalion 7 berjaya merampas sebuah kereta yang digunakan untuk menyeludup minyak ke negara jiran berhampiran pangkalan haram Bahaman, Tumpat
A
A
A

TUMPAT - Sekumpulan penyeludup melarikan diri sambil membawa tong-tong berisi minyak petrol sejurus melihat kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan di sebuah stor berhampiran pangkalan haram Bahaman di sini malam tadi.

Sebelum itu, kumpulan penyeludup tersebut sedang leka memindahkan minyak dari sebuah kereta jenis Proton Iswara ke dalam tong menggunakan pam khas sebelum melarikan diri dalam serbuan pada jam 9.30 malam itu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, bertindak atas maklumat risikan sepasukan anggota yang berada di lokasi mendapati pintu stor berhampiran pangkalan haram itu telah terbuka.

"Kemudian anggota PGA Batalion 7 telah ternampak sekumpulan lelaki sedang memindahkan minyak dari sebuah kenderaan ke dalam tong dengan menggunakan pam khas.

"Melihat kehadiran anggota PGA kumpulan penyeludup bertindak pantas dengan melarikan diri sambil membawa bersama beberapa buah tong disyaki mengandungi minyak petrol," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam bonet belakang kenderaan itu telah menemui tangki yang sudah diubah suai, beberapa buah tong plastik kosong berwarna biru serta satu alat penimbang.

"Kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Simpangan untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh pihak berkenaan.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan, tong dan alat penimbang dianggarkan berjumlah RM6,830," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azhari berkata, siasatan awal mendapati pemilik kenderaan tersebut dipercayai telah mengisi minyak petrol di sekitar Pengkalan Kubor bertujuan untuk memindahkan dan menyeludup bahan api itu ke negara jiran.