Warga emas maut terperangkap kebakaran

A
A
A

BUTTERWORTH - [DIKEMASKINI] Seorang warga emas maut selepas rumah sewa didudukinya di Taman Teloi Molek di sini terbakar awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa Azali Saad, 64, maut di lokasi kejadian dipercayai gagal menyelamatkan diri dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi.

Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah yang didiami enam orang dewasa dan dua kanak-kanak termasuk mangsa yang menyewa salah sebuah bilik di situ.

"Kebakaran bermula dari sebuah bilik bahagian atas rumah berkenaan. Bahagian atas rumah diperbuat daripada kayu menyebabkan api merebak dengan pantas.

"Mangsa ditemui meninggal dunia di bilik bahagian atas rumah manakala anak lelakinya mengalami sesak nafas dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat.

"Mangsa menyewa rumah berkenaan bersama isteri dan anak lelakinya berusia 20-an. Seorang wanita lain dan dua anaknya adalah penyewa bilik di rumah tersebut.

"Isteri mangsa serta penyewa wanita bersama dua anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pegawai operasi Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Pegawai Bomba Kanan II Faizwan Che Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.30 pagi.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati rumah teres dua tingkat terbakar di bahagian bilik tingkat atas.

"Api berjaya dikawal pada jam 7.15 pagi dan dipadamkan lima minit selepas itu. Pemeriksaan mendapati ada seorang lelaki terperangkap di sebuah bilik tingkat atas dan meninggal dunia.

"Bilik berkenaan terbakar 70 peratus, manakala peratusan kemusnahan keseluruhan adalah 25 peratus. Punca kebakaran belum diketahui dan masih disiasat forensik bomba," katanya. " katanya.