10 pasukan mula misi rebut kejuaraan STL Premier

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (berdiri, tengah); Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Ahmad bersama barisan penaja serta wakil pemain setiap pasukan pada majlis pelancaran STL 2020 di Stadium Titiwangsa malam ini. - FOTO ROSLI TALIB
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (berdiri, tengah); Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Ahmad bersama barisan penaja serta wakil pemain setiap pasukan pada majlis pelancaran STL 2020 di Stadium Titiwangsa malam ini. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

LIGA Sepak Takraw (STL) Premier 2020 kembali membuka gelanggangnya di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur malam ini dengan 10 pasukan akan merebut kejuaraan yang sudah masuk musim ketujuh tahun ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad lsmail berkata, saingan tahun ini dijanjikan akan menarik dengan kesemua pasukan sudah melakukan rombakan besar-besaran untuk menghadapi liga kali ini.

"Tanpa kehadiran penonton saingan tetap mendebarkan. Jika sebelum ini tumpuan terarah kepada Penang Black Panthers tetapi pada musim lalu Perak Bison berjaya memecah dominasi mereka menjadi juara STL Premier.

"Saya percaya setiap pasukan ada perancangan sendiri di mana musim ini tiada kelibat pemain import seperti tahun lalu. Inilah masa untuk mereka membuktikan kemampuan jika ingin mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan.

"Selain itu, kehadiran semula tekong utama negara, Mohd Syahir Rosdi yang akan bersama pasukan KL Thunder pasti menjadi tumpuan dan dinanti-nantikan oleh peminat takraw tempatan," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran di Stadium Titiwangsa malam ini.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay pula berkata, semua peminat boleh menyaksikan STL di rumah bersama keluarga di Astro Arena 802HD dan platform digital Astro Go, Stadium Astro dan Arena YouTube.

"Kita ingin membawa STL menjelajah seperti musim lalu dan menjemput pasukan jemputan dari negara serantau untuk STL Champions Cup nanti, namun kita terpaksa akur dengan penularan pandemik yang melanda ketika ini.

"Saya berharap semua pemain menunjukkan disiplin diri yang tinggi dan mengikut SOP di gelanggang mahupun di luar gelanggang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saingan STL Premier berlangsung di Stadium Titiwangsa manakala Piala Juara-Juara STL bakal diadakan di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bharu selama 10 hari bermula 23 November depan.