X

Kindly register in order to view this article
!

Januari paling sesuai adakan PRU15

Antara lokasi pemasangan bendera parti politik yang mula kelihatan di sekitar bandaraya Kota Kinabalu selepas hampir seminggu berkempen pada PRN Sabah.
A
A

BULAN Januari 2021 adalah masa yang dilihat paling sesuai sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hendak diadakan lebih awal.

Itu pendapat penganalisis politik daripada Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed yang menyifatkan PRU15 sewajarnya diadakan selepas pembentangan Belanjawan 2021 yang berkemungkinan akan dibentangkan pada Disember ini.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, bulan Disember merupakan musim tengkujuh bagi negeri-negeri di pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Jadi masa ini dilihat tidak begitu sesuai untuk diadakan PRU15. Bagi saya, awal tahun 2021 atau pada bulan Januari adalah masa yang paling sesuai sekiranya ia hendak dilakukan lebih awal,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi gambaran bahawa PRU15 boleh diadakan lebih awal jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Sementara itu, Ahmad Martadha mengakui PRN Sabah akan menjadi barometer terhadap Perikatan Nasional (PN).

Muhyiddin ketika berucap pada majlis Ramah Mesra di Kampung Rampayan Laut. - Foto Bernama
Muhyiddin ketika berucap pada majlis Ramah Mesra di Kampung Rampayan Laut. - Foto Bernama

Menurutnya, PRN Sabah adalah kali pertama PN bertanding menggunakan satu logo melibatkan kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Jika mereka menang, sudah tentu ia memberi gambaran bahawa masyarakat menerima kerjasama ini. Sudah pastinya akan membawa isyarat yang baik kepada PN dan rakan-rakannya dalam menghadapi PRU15 nanti.

“Bagaimanapun, sekiranya perkara sebaliknya berlaku, PN perlu mengambil masa untuk memantapkan semula sokongan rakyat terlebih dahulu. Ini kerana jika sokongan daripada rakyat tidak jelas, ia akan memberikan risiko besar kepada PN jika PRU15 diadakan lebih awal,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr Asri Salleh pula berpendapat, kebarangkalian untuk PRU15 diadakan selepas PRN Sabah agak tinggi sekiranya GRS dapat membentuk kerajaan negeri pada PRN Sabah kali ini.

Sokongan

Selain itu, beliau berkata, ia mengambil kira sokongan signifikan rakyat terhadap PN dan Muafakat Nasional (MN) di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

“Sekiranya GRS dapat membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya negeri itu kali ini, tidak mustahil PRU15 akan diadakan segera.

“Kita tahu Sabah memiliki 25 kerusi Parlimen, manakala kerajaan PN ketika ini hanya memiliki majoriti dua kerusi di Parlimen. Oleh itu, logiknya sasaran PN untuk mengadakan PRU15 sejurus PRN Sabah adalah untuk menambah bilangan kerusi majoritinya dalam Parlimen.

“Akan tetapi, jika sebaliknya berlaku, saya fikir kebarangkalian untuk PRU15 juga masih tinggi. Ini kerana PN masih tetap berpeluang untuk menang lebih banyak kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah sendiri.

Katanya, PRU15 dijangka diadakan awal tahun hadapan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tamat.

“Mungkin cuti persekolahan Januari tahun hadapan. Jadi kerajaan masih ada masa untuk melakukan persiapan bagi menghadapi pilihan raya berkenaan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Anantha Raman Govindasamy berkata, awal tahun depan dilihat waktu yang paling sesuai untuk diadakan PRU15 seiring dengan momentum sokongan rakyat.

Pemandangan perang bendera antara parti-parti politik yang bertanding seperti BN, PN, Warisan Plus, Parti Cinta Sabah di Keningau. Gambar hiasan.
Pemandangan perang bendera antara parti-parti politik yang bertanding seperti BN, PN, Warisan Plus, Parti Cinta Sabah di Keningau. Gambar hiasan.

“Keputusan PRN Sabah akan memberi implikasi yang besar bukan sahaja kepada rakyat Sabah tetapi untuk kerajaan PN.

“Sebab itu kita lihat PN mahu pastikan mereka menang besar sebab ia akan menunjukkan kredibiliti mereka sebagai kerajaan Pusat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Anantha berkata, keyakinan Muhyiddin untuk mempercepatkan PRU15 itu juga menunjukkan kepercayaan PN untuk mempertahankan kredibiliti mereka di peringkat nasional.

“Jadi, sekarang saya lihat kerajaan PN ambil pendekatan tunggu dan lihat mengenai bagaimana reaksi penerimaan rakyat Sabah terhadap mereka.

“Penerimaan rakyat Sabah terhadap mereka juga nanti akan memberi gambaran keseluruhan penerimaan rakyat negara ini terhadap mereka iaitu sama ada PN diterima oleh rakyat Malaysia atau sebaliknya,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!