Nasihin Nubli pembimbing baharu skuad hoki wanita

Mohd Nasihin Nubli dilantik sebagai Ketua Jurulatih Skuad Wanita yang baharu ketika ditemu bual di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Mohd Nasihin Nubli dilantik sebagai Ketua Jurulatih Skuad Wanita yang baharu ketika ditemu bual di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas sembilan bulan menunggu, pasukan hoki wanita kebangsaan akhirnya menerima ketua jurulatiah baharu apabila Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini mengumumkan bekas pemain kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mengisi kekosongan jawatan itu.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, penolong jurulatih skuad lelaki itu dipilih selepas ditemu duga bersama tiga calon lain terdiri daripada rakyat tempatan, warga Britain dan Belanda - bagi mengisi jawatan berkenaan secara kontrak selama dua tahun.

Bekas penjaga gol yang mewakili negara pada Olimpik 1996 dan 2000 itu pernah membimbing Malaysian Tigress selaku ketua jurulatih dari 2011 hingga 2015 yang menyumbang dua pingat emas Sukan SEA termasuk rekod kemenangan 36-0 ke atas Kemboja semasa edisi Sukan SEA Myanmar 2013.

“Daripada 23 calon (12 warga asing dan 11 rakyat tempatan) yang memohon jawatan itu, kami rasakan Nasihin adalah calon terbaik untuk mengisi kekosongan berkenaan. Beliau mengenali barisan pemain, malah tahu pemain mana yang boleh pergi jauh dan pemain mana yang boleh menyumbang.

“Menerusi sokongan yang lebih baik dari segi dana dan pendedahan kali ini, kami harap beliau boleh membimbing pasukan wanita ke peringkat lebih tinggi,” kata Subahan pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan di Stadium Hoki Nasional, di sini hari ini.

Mohd Nasihin juga membantu skuad kebangsaan meraih tempat kelima pada Sukan Asia Incheon 2014, Piala Asia 2013 dan 2014 selain pingat gangsa Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2013.

Subahan berkata, Mohd Nasihin yang akan dibantu Lailin Abu Hassan diberi tempoh dua bulan untuk menamakan barisan jurulatihnya sementara ketua jurulatih skuad lelaki, A Arul Selvaraj diberi kebebasan memilih jurulatih penjaga golnya bagi menggantikan Mohd Nasihin dengan bekas pemain antarabangsa, S Kumar dan Roslan Jamaluddin antara pilihan yang ada.

Jawatan ketua jurulatih skuad wanita kosong selepas Muhammad Dharma Raj Abdullah memutuskan untuk tidak memohon perkhidmatannya disambung setelah kontrak beliau tamat pada Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Nasihin yang ditemui di luar kejohanan Piala Tun Abdul Razak yang sedang berlangsung, berkata beliau menyasarkan untuk menjadikan anak buahnya sebagai yang terbaik di Asia dalam tempoh enam tahun akan datang, dengan mencontohi Korea Selatan, Jepun dan China.

“Kita ada ramai pemain muda yang berbakat, kira-kira 60 peratus pemain dalam skuad kebangsaan berusia bawah 21 tahun.

“Ini peluang yang baik untuk saya terus menaikkan prestasi mereka, (namun) pertama sekali kena bina ‘warrior mindset’ yang sedikit kurang dalam pasukan Malaysia, kemudian tambah adab, itu akan menambahkan keharmonian pasukan,” katanya. - Bernama