Syurga kecil si tukang kasut

Pondok yang baru dibina hasil sumbangan orang ramai berhampiran Megoplex, Jalan Sultan Nazrin Shah di Ipoh, kini menjadi tempat tinggal Osman.
Pondok yang baru dibina hasil sumbangan orang ramai berhampiran Megoplex, Jalan Sultan Nazrin Shah di Ipoh, kini menjadi tempat tinggal Osman.
A
A
A

IPOH - Seorang tukang kasut memilih untuk terus tinggal di pondok kecil di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran bangunan Megoplex di sini selepas isterinya meninggal dunia pada Julai lalu.

Osman Sidek, 62, mengambil keputusan itu setelah lebih sebulan hidup sebatang kara di pusat bandar itu dengan mengambil upah menjahit dan gam kasut pelanggan.

Menurutnya, dia selesa berada di pondok seluas 1.8 meter x 1.2 meter itu yang baharu dibina menggantikan pondok kayu yang telah roboh.

“Isteri, Suhaila Shamsuddin, 45, meninggal dunia pada 23 Julai lalu. Lebih 10 bulan saya tidak berniaga kerana dia memerlukan penjagaan rapi sebelum dia ‘pergi’.

“Kini setelah ketiadaan isteri tercinta, perkahwinan kami juga tidak dikurniakan anak dan saya tidak perlu membayar sewa rumah. Duduk di sini pun sudah selesa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, hari ini.

Katanya, pondok baharu itu dibina sepenuhnya hasil sumbangan orang ramai setelah dia terkesan dengan wabak koronavirus (Covid-19).

Osman selesa tinggal di pondok kecil yang juga gerai membaiki kasut diusahakan sejak dua dekad lalu.
Osman selesa tinggal di pondok kecil yang juga gerai membaiki kasut diusahakan sejak dua dekad lalu.

“Saya sangat berterima kasih dengan keprihatinan orang ramai yang sudi membantu dan akhirnya dapat bina bagi meneruskan kerja baiki kasut ini.

Artikel Berkaitan:

“Malah, ada seorang ahli perniagaan sudi meminjamkan ruangan pejabatnya untuk saya tinggal tetapi saya hanya tumpang mandi dan solat, selebihnya saya habiskan masa di sini,” katanya.

Osman berkata, dia mengenakan upah antara RM10 dan RM20 untuk membaiki kasut dan dapat disiapkan dalam masa 30 minit.

“Kemahiran ini dipelajari daripada bapa dan inilah satu-satu sumber pendapatan saya sejak 20 tahun lalu. Alhamdulillah, cukup untuk perbelanjaan saya seharian.

“Selepas gambar saya tular di media sosial baru-baru ini, makin ramai pelanggan yang datang. Saya buka setiap hari kecuali Ahad kerana akan menziarahi pusara isteri di Tapah,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan tinggal di gerainya itu, Osman sendiri tidak tahu sampai bila akan tinggal di pondok itu.

“Selagi ada kudrat dan kesihatan yang baik, saya akan terus ada di sini.

“Saya sebagai orang tua sering nasihatkan pelanggan terutama anak muda untuk terus berjaya dan jangan buang masa dengan aktiviti tidak bermanfaat,” katanya.