Islam liberal: Satu definisi

Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
A
A
A

SAYA ada membaca artikel yang dimuat naik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menjawab kekecohan mengenai definisi liberal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Definisi yang diberi Jakim – liberal adalah suatu bentuk pemikiran yang bebas, terbuka dan dipandu oleh hawa nafsu dalam bidang yang pelbagai. Ia membuatkan saya berfikir bagaimana untuk mendefinisi seseorang itu berpandukan hawa nafsu?

Beberapa orang teman telah membandingkan maksud liberal yang merujuk kepada Kamus Dewan dan terdapat perbezaan dengan takrifan Jakim. Ia menimbulkan perbahasan dalam kalangan orang bijak pandai media sosial, yang menyatakan maksud liberal adalah luas tetapi telah disempitkan oleh Jakim yang boleh menimbulkan kekeliruan.

Merujuk kepada artikel Zulkifli yang berjudul ‘Dari Liberalisme ke Islam Liberal: Satu Sorotan’ yang menjawab definisi liberal itu, beliau mengakui tidak ada satu definisi yang disepakati bersama. Dalam artikel tersebut, beliau menghuraikan sejarah asal-usul liberal dengan menyebut beberapa nama.

Walaupun kebanyakan nama yang disebut secara amnya liberal tetapi tokoh-tokoh itu lebih kepada falsafah ekonomi dan politik liberal, contohnya makalah yang dirujuk beliau yang ditulis Milton Friedman bertajuk ‘The Basic Principle of Liberalism’. Contoh lain ialah tokoh liberal era moden seperti John Stuart Mill, manakala tokoh era pencerahan yang dikatakan Bapa Liberal iaitu John Locke tidak disebut dalam artikel berkenaan.

Walau apa pun definisi menurut sejarah, beliau ada memberitahu, tujuan artikel yang ditulis itu lebih kepada pemikiran liberal agama, iaitu liberal Islam yang merujuk kepada golongan yang menamakan diri mereka sebagai Jaringan Liberal Indonesia.

Selain itu, kata beliau lagi, ada individu dan golongan yang mempunyai pemikiran liberal tetapi tidak menamakan diri mereka liberal, maka akan menyebabkan terjadinya salah faham dan tohmahan jika dibahas.

Saya menulis artikel ini bertujuan ingin mengkaji definisi sebenar yang menyebabkan Jakim mengeluarkan definisi liberal.

Artikel Berkaitan:

Ia berkait dengan perkembangan pemikiran dari zaman ke zaman. Manusia tidak dinafikan berkembang fikiran setelah melalui beberapa fasa.

Pemikiran terasuh daripada pembacaan akan menghasilkan cara berfikir logik. Logik adalah hasil daripada serapan ketika berfikir. Maka saya berpendapat, apa yang difikirkan logik itu betul menurut fitrah manusia.

Pengaruh

Contohnya, saya membaca pelbagai buku seperti Ibnu Arabi, Trotsky, Kant, John Locke dan majalah Gila-Gila. Maka, fikiran saya yang terhasil bukanlah disebabkan pengaruh daripada buku-buku tersebut tetapi lebih kepada membaca dan berfikir secara kritis yang mungkin pada logiknya ada kenyataan dalam buku itu memang betul pendapatnya.

Mungkin ada orang akan berfikir mengikut takrifannya, saya seorang sufi, filosofi, sosialis, liberal dan berfikiran gila-gila agaknya jika kita mendefinisikan secara begitu tetapi hakikatnya tidak. Ia lebih kepada bagaimana kita hendak memperluaskan pemikiran dengan membahas dalam mencari kebenaran.

Dalam artikel tersebut, Zulkifli ada memberitahu pada bahagian rumusan dan kesimpulan bahawa, “Gerakan Islam Liberal yang terinspirasi daripada ideologi liberalisme pula diwujudkan atas asas untuk membebaskan umat Islam daripada belenggu kejumudan dan keterbelakangan yang diakibatkan oleh fahaman konservatisme dan fundamentalisme agama melalui penghargaan terhadap kepelbagaian pandangan, pembukaan pintu ijtihad, perjuangan hak asasi manusia dan mempertahankan kebebasan.”

Pada perenggan seterusnya, beliau bersetuju bahawa semua cita-cita yang digariskan adalah bertepatan dengan Islam, cuma katanya, “Namun, ia dilakukan dengan cara menyanggah dan meruntuhkan tradisi keilmuan ulama yang telah diwariskan sejak zaman-berzaman. Pintu ijtihad pula dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja.”

Saya masih tidak nampak di mana salah secara logiknya, cuma mestilah dalam kalangan orang yang berilmu.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com