Eksekutif SEAGM mengaku tidak bersalah berhubung dakwaan DOJ

Vincent Tan
Vincent Tan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua eksekutif rakyat Malaysia yang didakwa oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) semalam terhadap pertuduhan pengubahan wang haram dan jenayah siber di AS mengekalkan pengakuan tidak bersalah, menurut Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation (BCorp), Tan Sri Vincent Tan, hari ini.

Menyatakan bahawa beliau adalah pelabur pasif dalam syarikat permainan video dalam talian berpangkalan di Perak, SEA Gamer Mall (SEAGM) Sdn Bhd, syarikat kedua-dua eksekutif itu bekerja, Vincent berkata, kedua-dua lelaki itu telah melantik peguam Malaysia untuk mewakili mereka.

“Baik SEAGM mahupun kedua-dua eksekutif itu tidak memiliki kepakaran atau alat dalam pencerobohan dan penggodaman komputer. Kedua-dua eksekutif itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan telah melantik penasihat undang-undang untuk mewakili mereka,” Vincent berkata dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Vincent dikeluarkan sehari selepas media antarabangsa melaporkan bahawa DoJ mendakwa lima warganegara China dan dua rakyat Malaysia kerana didakwa menggerakkan operasi penggodaman global untuk mencuri identiti, teknologi permainan video dan ransomeware.

Kedua-dua lelaki itu dikenali sebagai Wong Ong Hua dan Ling Yang Ching.

Kedua-dua lelaki itu ditahan pada 14 September di Perak dan kini direman di penjara Sungai Buloh sementara menunggu ekstradisi ke AS berikutan permohonan oleh pihak berkuasa negara itu.

Dalam kenyataannya, Vincent berkata, beliau adalah pelabur pasif dalam syarikat itu melalui entiti swasta.

ARTIKEL BERKAITAN: Padah godam komputer, dua rakyat Malaysia didakwa di AS

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata, anak perempuannya iaitu Nerine Tan dan Chryseis Tan merupakan pengarah bukan eksekutif SEAGM.

“Pada setiap masa, anak perempuan saya tidak terlibat dalam pengurusan SEAGM. Malah kedua-duanya, Nerine dan Chryseis telah meletakkan jawatan sebelum kejadian ini.

“Saya (juga) ingin menjelaskan bahawa Berjaya Corporation Berhad Group of Companies tidak mempunyai kepentingan sama sekali dalam SEAGM...Pegangan saham saya dalam SEAGM adalah sepenuhnya pelaburan peribadi saya yang saya mungkin lepaskan apabila tiba masa yang sesuai,” kata Vincent.

Beliau berkata, sebagai pelabur pasif, semua keputusan harian syarikat dan perniagaan diserahkan kepada eksekutif utama SEAGM.

Vincent berkata, SEAGM telah memberi jaminan bahawa mereka telah meningkatkan langkah keselamatan untuk melindungi data peribadi pelanggan dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu. - Bernama