X

Kindly register in order to view this article
!

KBS alu-alukan cadangan pastikan kegiatan berbasikal selamat

Reezal Merican (tengah) bergambar selepas melancarkan Program 'Institut Sukan Negara Inspire' di Institut Sukan Negara (ISN), Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengalu-alukan sebarang cadangan daripada semua pihak berkepentingan bagi memastikan aktiviti berbasikal di negara ini dapat dilakukan dengan selamat termasuk tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sehubungan itu, pihaknya bercadang mengadakan sesi libat urus dengan komuniti berbasikal serta pihak berkuasa untuk mendapatkan pandangan.

"Ini adalah perkara yang perlu dilihat dan ditangani dengan cara yang bijaksana. Sementara kita memahami minat berbasikal mereka, kita juga kena pastikan mereka berada dalam keadaan selamat, tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Kita perlu mencapai keseimbangan antara mereka.

"Dengan cara ini (libat urus), kita boleh mencari jalan yang lebih tuntas agar kita tidak mengekang aktiviti sukan berbasikal untuk terus dilakukan secara giat dan aktif, dan pada waktu yang sama, tidak membawa sebarang bentuk bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya selepas melancarkan Program ISN Inspire di Institut Sukan Negara (ISN), di sini hari ini.

Sebelum ini, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dilaporkan sedang mengkaji keperluan setiap basikal di negara ini didaftarkan, dilesenkan dan diletakkan nombor plat seperti kenderaan bermotor bagi menjamin keselamatan penunggang.

Dalam perkembangan sama, Reezal Merican berkata, KBS juga sedia membincangkan cadangan pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang berhubung pembinaan trek berasingan sebagai antara langkah menjaga keselamatan penunggang basikal. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!