X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki disyaki rogol anak tiri ditahan di restoran

PDRM
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki yang disyaki merogol anak tirinya ditahan di sebuah restoran di daerah ini kelmarin bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

"Lelaki berkenaan kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

"Siasatan masih dijalankan termasuk memanggil beberapa individu untuk dirakam keterangan. Selain itu, mangsa juga telah dirujuk di sebuah hospital untuk pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, satu laporan telah dibuat mangsa iaitu anak tiri lelaki berkenaan yang berusia 16 tahun pada Selasa lalu.

Remaja berkenaan mendakwa telah dirogol bapa tirinya itu beberapa kali sejak tahun lalu di rumah mereka di daerah ini.

Kejadian itu menyebabkan remaja perempuan itu mengalami trauma dan kemurungan.

Mangsa akhirnya menceritakan kejadian terbabit kepada guru kaunseling sehari sebelum laporan polis dibuat.

Sementara itu, dalam kes berlainan, seorang lelaki diberkas di Kuantan, Pahang semalam kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan tawaran gelaran Datuk yang melibatkan kerugian RM20,000.

"Suspek yang mempunyai 11 rekod lampau kes tipu telah direman dua hari untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.