Kementerian sasar 15,000 pelatih di bawah Protégé

Mohd Redzuan. - Foto: Sinar Harian/IZARI ROSLI
Mohd Redzuan. - Foto: Sinar Harian/IZARI ROSLI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan mensasarkan melatih 15,000 pelatih di bawah Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protégé) pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, jumlah tersebut termasuklah 30 peratus daripada 132,261 pelatih (Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) tidak diserap dan mendapat sebarang tawaran pekerjaan.

"Seramai 132,261 peserta SL1M daripada keseluruhan 226,251 sudah dibantu secara langsung menerusi program itu sebelum ini.

“Bagaimanapun, daripada jumlah itu, hanya 70 peratus ditawarkan pekerjaan manakala baki 30 peratus lagi tidak diserap dan tidak mendapat sebarang tawaran pekerjaan daripada syarikat. Jumlah ini yang akan kita akan fokus untuk bantu menerusi Protégé selain daripada kemasukan baharu," katanya ketika ucapan Perasmian Pelancaran Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protégé), hari ini.

Menurutnya, Protégé adalah penjenamaan semula program SL1M yang sebelum ini di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan kini ditempatkan di bawah kementeriannya.

Beliau berkata, Protégé akan membantu graduan dalam latihan pekerjaan dengan penempatan di industri.

"Lima modul wajib latihan soft skills (kemahiran insaniah) dan yang terkini iaitu tambahan dua modul baharu dalam bidang keusahawanan yang perlu disediakan oleh syarikat.

"Ia dilaksanakan di bawah salah satu program yang akan dilaksanakan iaitu Protégé Ready-To-Work (RTW)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penyertaan peserta lebih terbuka dengan mensasarkan penyertaan bukan sahaja kepada graduan malah turut membuka peluang kepada semua peringkat terutama mereka yang berpendapatan rendah dan tinggal di kawasan pedalaman yang ingin mendapatkan latihan dalam bidang usahawan dan pekerjaan.

"Sasaran peserta adalah seperti ijazah dan ke atas, diploma, lepasan sekolah serta para pelajar," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata senario bidang pekerjaan hari ini memperlihatkan ramai telah kehilangan kerja.

"Pada tahun 2016 dan 2017, lebih 72,000 pekerja dibuang kerja yang kebanyakan daripada sektor pembuatan terutamanya ketegori pekerja operator, pemasang loji dan mesin.

"Pada 2018 pula, kira-kira 23,525 orang kehilanganpekerjaan di seluruh negara yang terdiri daripada tiga kategori profesion teratas yang bergaji tinggi iaitu pengurus, profesional dan juruteknik dan profesional bersekutu yang memerlukan siploma dan ijazah untuk kelayakan diterima bekerja," katanya.

Justeru, beliau berpendapat, penyelesaian terbaik untuk menangani isu kekangan pekerjaan ialah dengan melatih lebih ramai usahawan untuk membuka ruang minda bahawa menjadi usahawan juga boleh menjadi alternatif pencarian rezeki yang baik selain kerja makan gaji.

"Penjenamaan semula Protégé ini akan memberikan lebih penekanan dalam aspek keusahawanan sebagai persediaan kepada anak - anak muda menjana pendapatan selaku job creators (mencipta peluang pekerjaan) yang boleh berkembang menjadi majikan memayungi job seekers (pencari pekerja) yang lain.

"Pendidikan keusahawanan hari ini harus diberikan perhatian serius dalam kalangan pelajar menukar cara berfikir mereka daripada makan gaji kepada penjana pendapatan (Job Seekers to Job Creators) yang merupakan komponen penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang kreatif dan berinovasi," katanya.