Empat rakan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati

Empat rakan termasuk dua beradik dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Melaka semalam atas pertuduhan membunuh seorang rakan pada tujuh tahun lalu.
Empat rakan termasuk dua beradik dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Melaka semalam atas pertuduhan membunuh seorang rakan pada tujuh tahun lalu.
A
A
A

MELAKA - Empat rakan termasuk dua beradik sebak dan menitiskan air mata selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Melaka atas pertuduhan membunuh seorang rakan, tujuh tahun lalu.

Hakim, Datuk Mohd Firuzz Jafrill membuat keputusan itu terhadap tertuduh, MP Namasivayam, 30, P Narendranpathy, 33, dan adiknya Sethupathi, 32, serta Aiman Mazlan, 27, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan berkenaan.

Bagaimanapun, dua lagi tertuduh dilepas dan dibebaskan A Satish, 26, dan G Vincent Lawrence, 28, selepas mahkamah mendapati wujud keraguan dalam kes itu.

Keempat-empat tertuduh didakwa mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap B R Sivan, 32, di hadapan sebuah rumah di Taman Bertam Jaya, di sini lebih kurang jam 10.45 malam pada 4 Mei 2013.

Mereka didapati melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Satish (kanan) dan G Vincent Lawrence keluar dari Mahkamah Tinggi Melaka semalam selepas dibebaskan atas pertuduhan itu.
Satish (kanan) dan G Vincent Lawrence keluar dari Mahkamah Tinggi Melaka semalam selepas dibebaskan atas pertuduhan itu.

Dalam prosiding itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan terhadap Sethupathi dan Aiman kerana didapati mencederakan abang-abang mangsa iaitu B R Muniandy, 36, dan B R Garnesan, 41, menggunakan parang hingga boleh menyebabkan kematian dengan hukuman itu bermula daripada tangkapan pada 11 September 2013.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Effizah Ernie Idris ketika hujah berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk kepentingan awam, kecederaan yang dialami kedua mangsa adalah serius hingga menyebabkan kecacatan kekal selain kekerapan kes bunuh yang berlaku di dalam negara.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes bunuh ini, si mati diserang beramai-ramai tanpa belas kasihan sehingga menemui ajal dan amat sedih si mati dibunuh depan emaknya dan dilihat oleh anak saudaranya.

"Sudah pasti kejadian bunuh ini meninggalkan impak besar dan kesedihan berpanjangan kepada emak si mati," katanya.

Tambahnya, kecederaan parah yang dialami dua abang mangsa juga telah mengakibatkan mereka mengalami kecacatan kekal dan tidak boleh menggunakan tangan untuk melakukan kerja seperti keadaan normal sebelum kejadian ini.

Seramai 36 saksi pendakwaan dan 10 saksi pembelaan dikemukakan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Kesemua tertuduh diwakili Peguam Paul Krishnaraja, Andrew Lourdes, Raftfizi Zainal Abidin dan Asmawi Ismail.