X

Kindly register in order to view this article
!

ESSCom aktifkan OCP khas di tiga daerah ESSZone

A
A

LAHAD DATU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengaktifkan Op Cegah Pati (OCP) Khas bermula hari ini membabitkan tiga daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) bagi mengekang penularan Covid-19.

Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, fasa pertama pelaksanaan OCP membabitkan daerah Semporna, Kunak dan Lahad Datu sehingga 30 September ini.

"Operasi ini merupakan sebahagian langkah proaktif yang dilaksanakan ESSCom bagi mencegah penyusupan masuk pendatang haram yang berkemungkinan dijangkiti Covid-19 dan boleh menyebabkan kluster jangkitan.

"Ada kemungkinan pendatang haram yang bekerja di negeri ini dan berada di negara asal mereka menggunakan laluan tikus untuk menyusup keluar dan masuk di tiga daerah itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Fuad berkata, OCP Khas akan dilaksanakan di kawasan yang dikenal pasti sebagai titik pendaratan bagi pendatang haram sekali gus mengekang jenayah rentas sempadan termasuk kumpulan penculikan untuk wang tebusan.

Katanya, OCP Khas itu dilaksanakan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan dibantu Jabatan Kesihatan, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Kerjasama semua pihak diperlukan dalam usaha memutuskan penularan pandemik Covid-19 di ESSZone khususnya di tiga daerah berkenaan yang menunjukkan peningkatan kes, berpunca daripada penyusupan masuk pendatang haram," katanya.

Beliau berharap operasi itu juga dapat menangani kes jenayah rentas sempadan termasuk pendatang haram sekali gus 'mematikan' rantaian Covid-19 daripada luar kawasan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!