Shafie nafi ekonomi Sabah merudum di bawah pemerintahannya

Mohd Shafie beramah mesra dengan penduduk pada Majlis Bersama Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Petagas dan Tanjung Keramat di Dewan Sri Putatan, Putatan hari ini.
Mohd Shafie beramah mesra dengan penduduk pada Majlis Bersama Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Petagas dan Tanjung Keramat di Dewan Sri Putatan, Putatan hari ini.
A
A
A

PUTATAN - Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan ekonomi Sabah merudum ketika di bawah pemerintahannya termasuk ketika menghadapi wabak koronavirus (Covid-19).

Sebaliknya, beliau berkata, ekonomi merosot turut dirasai di seluruh dunia disebabkan wabak Covid-19.

"Ada orang cerita ekonomi Sabah merudum dua tahun berturut-turut, siapa cakap? Apakah mereka Menteri Kewangan? Saya Menteri Kewangan, saya bentangkan belanjawan dua tahun berturut-turut, RM3 bilion kita belanjakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Petagas dan Tanjung Keramat, di Dewan Sri Putatan di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, pada tahun lalu beliau mampu membayar hutang bon sebanyak RM1 bilion yang dibuat bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

"Bayangkan sebelum itu, Musa pinjam duit bon RM1 bilion, kena bayar satu tahun. Duit kita tiada, tahun lalu saya mampu bayar hutang Musa RM1 bilion, saya mampu bayar tahun 2019. Dia hutang, kita bayar.

"Kalau ekonomi tidak bagus, bagaimana mahu bayar hutang RM1 bilion," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib dakwa ekonomi Sabah lembab di bawah Warisan

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu membidas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan negeri tidak boleh menguruskan masalah Covid-19.

"Muhyiddin cakap kita tidak mampu untuk urus Covid-19, tidak cukup duit. Di Johor berapa juta dia belanjakan untuk Covid-19, di Kedah berapa juta dia belanjakan untuk Covid-19?

"Kita di Sabah, kita belanja RM600 juta untuk berhadapan dengan Covid-19," katanya.

Jelasnya lagi, pelbagai pihak di negeri ini mendapat manfaat menerusi perbelanjaan yang dikeluarkan untuk berhadapan dengan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kerajaan Pusat supaya bertanggungjawab dalam menyalurkan peruntukan pembinaan infrastruktur di Sabah dan ia termaktub dalam hak Perlembagaan Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Sabah perlukan kerajaan yang boleh bantu rakyat

Lebih banyak bantuan jika Sabah sehaluan: PM