PBS sah jadi rakan sekutu PN

Hamzah bersama Jahid menunjukkan perjanjian yang ditandatangani dalam satu majlis ringkas di Tamparuli.
Hamzah bersama Jahid menunjukkan perjanjian yang ditandatangani dalam satu majlis ringkas di Tamparuli.
A
A
A

TAMPARULI - Parti Bersatu Sabah (PBS) kini sah menjadi rakan sekutu kepada Perikatan Nasional (PN) melalui hubungan secara formal dalam kerajaan selain mahu mewujudkan kesepakatan politik.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim berkata, kesepakatan itu juga adalah untuk memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September depan.

"Bagaimanapun, pemeteraian kerjasama ini tidak akan menjadikan PBS sebagai sebuah parti komponen dalam PN, namun kekal menjadi sebagai rakan sekutu dalam gabungan politik negeri dan juga Persekutuan.

"Perkara ini sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak di mana mereka juga adalah rakan kongsi kepada PN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jahid berkata, menerusi perjanjian kerjasama itu, PBS akan menjadi rakan sekutu dalam pilihan raya yang sedang berlangsung dalam usaha untuk membentuk kerajaan negeri Sabah.

"Meskipun kita mempunyai manifesto sendiri, namun kita juga akan menggunakan dan berkongsi manifesto PN semasa dan sepanjang kempen PRN Sabah.

"PBS juga akan menggunakan imej, gambar serta mesej Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam bentuk cetak mahupun digital bagi sebarang kempen mahupun komunikasi parti," katanya.

Tambahnya, PBS akan turut menjalin kerjasama dan bersekutu dengan semua parti yang terdapat dalam PN seperti yang terkandung dalam pendaftaran perikatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, perjanjian kerjasama itu ditandatangani di antara Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, manakala PBS diwakili oleh Jahid dengan disaksikan oleh pemimpin kanan daripada kedua-dua belah pihak.

PBS juga dibenarkan untuk bertanding dalam pilihan raya kali ini dengan menggunakan bendera dan logo sendiri.

Gabungan kerusi yang dimenangi oleh PBS dan PN akan membentuk kerajaan Sabah di bawah perikatan tersebut.