Tiada pengumuman rasmi kebenaran tunai umrah

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri - Foto Bernama
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kebenaran menunaikan umrah setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, perkara itu disentuh beliau dalam pertemuannya dengan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saeed Qattan, empat hari lepas.

“Saya bertemu dengan Duta Arab Saudi lebih kurang empat hari lepas, saya ada utarakan... rasa-rasa bila (agaknya) visa umrah secara rasmi dibuka, dan beliau nyatakan setakat ini tidak ada pengumuman rasmi mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pasca Perkahwinan Islam Fasa ‘Sehati Sejiwa’ 2020, di sini hari ini.

Mengenai program berkenaan, Zulkifli berkata, ia merupakan projek perintis sebagai sebahagian daripada inisiatif bagi mengurangkan kadar penceraian dalam negara.

Kursus yang dihadiri 15 pasangan suami isteri itu diadakan khusus bagi memantapkan ilmu dan pengetahuan peserta ke arah mengukuhkan keharmonian rumah tangga bagi mendepani pelbagai cabaran kehidupan termasuk ujian pandemik Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: