Muhyiddin ambil kredit hasil kerja bekas menteri PH: Tze Tzin

Hantaran di Facebook Tze Tzin.
Hantaran di Facebook Tze Tzin.
A
A
A

SHAH ALAM - Elaun sara hidup dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk nelayan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam didakwa merupakan hasil usaha bekas menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, ia adalah titik peluh bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan pasukan mereka sepanjang 22 bulan dalam kementerian.

"Beliau (Muhyiddin) jangan hanya nak ambil kredit dan nama semata-mata nak menangkan pilihan raya. Hakikatnya, kerajaan PN (Perikatan Nasional) kurang menunjukkan kreativiti atau dasar-dasar baru yang memberangsangkan.

"Rakyat masih tak nampak sangat dasar baru dalam sektor pertanian di bawah kerajaan PN. Mereka hanya meneruskan dasar diusahakan oleh kerajaan PH sahaja. Lembu punya susu, sapi dapat nama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan elaun sara hidup nelayan daripada RM250 kepada RM300 sebulan bagi mengurangkan beban golongan itu yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Beliau dalam sebuah majlis di Beaufort, Sabah berkata, sewaktu PH mentadbir negara, Warisan sebahagian daripada PH dan ketika itu, elaun sara hidup nelayan dipotong daripada RM300 kepada RM250.

ARTIKEL BERKAITAN: Elaun sara hidup nelayan dinaikkan RM300 sebulan

Bagaimanapun Tze Tzin berkata, sebagai bekas Timbalan Menteri Pertanian, beliau sememangnya gembira demi 42,000 warga nelayan di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Tapi saya ingin 'set the record straight'. Semasa Datuk Seri Salahuddin (Ayub) dan saya memimpin Kementerian Pertanian, kami melakukan dua perkara utama untuk nelayan tradisional (Zon A).

"Memperjuangkan kembalikan ESH (elaun sara hidup) ke RM300 pada tahun 2020 dan caruman Perkeso nelayan (Dasar Baru PH)," katanya.

Malah katanya, pada hari terakhir menjawat jawatan timbalan menteri, beliau mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai dari Jabatan Perikanan untuk melaksanakan Perkeso untuk nelayan.