Covid-19: Kes baharu di Sabah melonjak kepada 90, satu kematian

Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kes positif koronavirus (Covid-19) di Sabah terus melonjak dengan 90 daripada 95 kes baharu dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, 90 penularan dalam negara di Sabah itu membabitkan 68 rakyat tempatan dan 23 warga asing.

"Sebanyak 76 kes dikesan dalam saringan Kluster Benteng LD termasuk 20 warga asing. KKM turut mengesan empat kes daripada Kluster Pulau dan tiga kes dari kalangan Kluster Selamat.

"Sebanyak tiga kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI) dikesan di Hospital Lahad Datu dan dua kes bergejala yang dimasukkan ke Hospital Tawau serta kes saringan Kluster Bunga di Negeri Sembilan. Turut dikesan positif adalah satu kes saringan kematian di Hospital Semporna yang melibatkan warga asing iaitu kes ke-10,145. Kes ini juga merupakan kes kematian Covid-19 ke-129," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kes kematian itu, Dr Noor Hisham berkata, ia membabitkan wanita warga Filipina yang mula bergejala pada 14 September lalu.

"Dia mengalami batuk dan sesak nafas sebelum mendapatkan rawatan di pusat perubatan dan dirujuk ke Hospital Semporna. Bagaimanapun wanita berkenaan tidak pergi ke Hospital Semporna berikutan kekangan yang dihadapi.

"Dia ditemui tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Semporna, Sabah sebelum disahkan meninggal dunia pada hari sama," katanya.

Menurutnya, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 10,147 kes dengan 754 kes aktif.

Artikel Berkaitan:

Jumlah kes kematian Covid-19 juga meningkat kepada 129 kes.

Sehingga kini, terdapat 11 kes positif Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, 14 kes disahkan pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Jumlah kes pulih adalah 9,264 kes iaitu bersamaan dengan 91.3 peratus daripada keseluruhan kes.