Permohonan halang kerajaan batal projek KVDT2 ditolak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan sebuah syarikat kontraktor untuk mendapatkan perintah sementara menghalang kerajaan membatal atau menamatkan kontraknya bagi projek menaik taraf kemudahan infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik di Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) sementara menunggu pelupusan saman utama dalam kes itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aliza Sulaiman menolak permohonan Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, yang menamakan kerajaan dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai responden selepas memutuskan bahawa mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini iaitu perintah injunksi tidak boleh dikeluarkan terhadap kerajaan serta penjawat awam (bagi menghalang mereka daripada melakukan tugas awam).

“Saya cenderung untuk mengikuti keputusan itu dan tidak membenarkan perintah sementara dikenakan ke atas kerajaan dan penjawat awam, oleh yang demikian, permohonan ini ditolak dengan kos sebanyak RM10,000,” katanya.

Peguam, Tan Sri Cecil Abraham yang mewakili Dhaya Maju LTAT kemudian memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Projek itu menerima kritikan hebat selepas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.61 bilion semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ini termasuk projek KVDT2 yang dianugerahkan kepada Dhaya Maju LTAT bernilai RM4.475 bilion.

Pada 28 Ogos, Ka Siong dalam satu kenyataan menyebut bahawa kementerian itu akan membuka semula tender bagi projek KVDT2 selepas mengambil kira hasil kajian menyeluruh dan siasatan yang mendapati kos projek itu di bawah Dhaya Maju-LTAT terlalu mahal semasa pentadbiran PH.

Terdahulu, Abraham berhujah kenyataan Ka Siong telah memberikan gambaran bahawa kontrak itu akan ditamatkan.

Artikel Berkaitan:

“Kami tidak berniat untuk menghalang kerajaan dan menteri melaksanakan tugasan awam mereka, kes di hadapan mahkamah hari ini bersifat kontraktual semata-mata dan kami berhasrat untuk mengekalkan status quo,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan, Habibah Haron pula berhujah bahawa projek itu membabitkan wang berjumlah berbilion ringgit dan ia tidak boleh diputuskan melalui satu kenyataan akhbar.

Asliza berkata, sebarang pembatalan projek harus disusuli dengan notis penamatan rasmi.

“Dalam kes ini, tidak ada notis penamatan rasmi, jadi untuk mereka (plaintif) meneruskan tindakan sivil ini adalah pramatang,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan harus melaksanakan tanggungjawab awamnya berkaitan projek KVDT2 kerana ia mempunyai unsur kepentingan awam.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Oktober untuk pengurusan kes.

Menurut saman yang difailkan pada 7 September itu, Dhaya Maju LTAT antara lain memohon deklarasi bahawa wujud satu kontrak yang sah dan mengikat antara syarikat itu dengan kerajaan melalui Surat Setuju Terima bertarikh 19 Ogos 2019 (kontrak itu).

Plaintif turut memohon satu deklarasi bahawa sebarang penamatan atau pembatalan kontrak itu oleh defendan adalah batal, tidak sah dan salah serta perintah injunksi terhadap kedua-dua defendan bagi menyekat dan menghalang mereka daripada bertindak atau mengambil sebarang langkah berhubung sebarang pembatalan atau penamatan kontrak tersebut.

Dhaya Maju LTAT, antara lain memohon jumlah tertunggak sebanyak RM137,054,534.21 daripada kerajaan dan faedah lima peratus setahun atas jumlah tertunggak sehingga tarikh penghakiman serta penyelesaian penuh.

Syarikat itu turut meminta ganti rugi untuk ditaksir bagi liabiliti Ka Siong, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Penyataan tuntutan menyebut bahawa plaintif, sebuah syarikat usaha sama 80:20 antara Dhaya Maju Infrasturcture (Asia) Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang ditubuhkan pada 5 Jun 2017 di bawah Akta Syarikat 2016 telah dianugerah projek KVDT2 melalui Surat Setuju Terima bertarikh 4 April 2018 dengan kontrak asal bernilai RM5.58 bilion.

Syarikat itu mendakwa ia memulakan kerja-kerja bagi projek tersebut sebaik sahaja diberikan kontrak asal namun perubahan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 menyebabkan kontrak asal ditamatkan defendan pertama pada atau sekitar 19 Oktober 2018 melalui notis penamatan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan kononnya atas alasan kepentingan awam atau keselamatan negara atau kepentingan negara.

Plaintif mendakwa bahawa susulan penamatan kontrak asal, beberapa pertemuan dan perbincangan telah diadakan antara kedua-dua pihak selain sesi lanjut Makmal Kejuruteraan Nilai dan Makmal Pengurusan Nilai yang membawa kepada persetujuan penyelesaian yang dilaksanakan antara plaintif dan kerajaan pada 19 Ogos 2019.

Syarikat itu berkata, selaras dengan syarat perjanjian penyelesaian melalui Surat Setuju Terima bertarikh 19 Ogos 2019, ia telah dianugerahkan semula projek tersebut dengan jumlah kontrak disemak semula sebanyak RM4.475 bilion, dan plaintif telah melaksanakan tanggungjawabnya sesuai dengan Surat Penerimaan yang mana ketika ini, projek itu telah mencapai kemajuan sebanyak 24 peratus termasuk nilai perolehan komponen kerja trek utama seperti rel dan tempat tidur, yang dijayakan sejumlah 1,512 pekerja berdedikasi serta 261 syarikat perkhidmatan dan pembekalan.

Sehingga kini, plaintif berkata ia telah menyiapkan kerja-kerja yang disahkan untuk pembayaran melebihi RM300,763,033.12 pada tempoh berakhir pada 30 Jun 2020.

Syarikat itu berkata, pada Mac 2020, sekali lagi berlaku perubahan dalam landskap politik Malaysia yang menyaksikan kerajaan gabungan baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional berkuasa, sekali lagi menyebabkan plaintif terjerumus dalam kancah kontroversi, kekeliruan dan ketidakpastian berkaitan projek tersebut.

Plaintif mendakwa atas sebab-sebab yang tidak diketahui olehnya, kedua-dua defendan enggan atau gagal melaksanakan dokumen kontrak yang relevan walaupun terdapat syarat jelas yang mengkehendaki mereka berbuat demikian dalam tempoh empat bulan daripada tarikh Surat Penerimaan dikeluarkan selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan, yang sehingga kini, menurut plaintif, tidak ditandatangani.

Syarikat itu mendakwa walaupun terdapat kontrak antara plaintif dan kerajaan, Ka Siong pada 28 Ogos lepas telah melalui siaran akhbar, mengumumkan keputusan untuk membatal atau menamatkan kontrak dengan plaitif serta membuka semula proses bidaan bagi projek tersebut menerusi sistem tender terbuka. - Bernama