X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada keperluan PKPD seluruh Tawau, Lahad Datu

Ismail Sabri Yaakob
A
A

KOTA KINABALU - Tiada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh Tawau dan Lahad Datu,

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya PKPD dilaksanakan sekalipun, ia akan dilakukan secara bersasar iaitu berdasarkan lokaliti terlibat penularan Covid-19.

“Dahulu mungkin jika ada beberapa kes di Sabah, kita tutup seluruh Sabah, jika kes berlaku di Tawau kita tutup seluruh daerah namun kini ia tidak adil kerana kita tidak ada kes Covid-19 di Kota Kinabalu dan Sepanggar, jadi takkan kita nak buat 'lockdown' juga.

“Kini kita fokus kepada lokaliti terlibat, contohnya jika kes Covid-19 di Penjara Tawau, kita laksana PKPD di lokaliti berkenaan sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia peringkat Sabah kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau perkembangan kes di Tawau serta Lahad Datu dan sekiranya situasi meruncing di beberapa kampung, PKPD bersasar akan dilaksanakan seperti di Kedah ketika pengawalan Kluster Sivagangga.

KKM katanya, melakukan saringan setiap hari dan keputusan juga diperoleh setiap hari yang menyebabkan jangkitan kes Covid-19 di kawasan itu kelihatan banyak.

“KKM dah kenal pasti mana-mana individu yang positif Covid-19 termasuk kontak rapat mereka serta sudah mengesan lokaliti bagi tujuan saringan dilaksanakan.

“Mana-mana individu yang dikesan positif Covid-19 akan dibawa terus ke pusat rawatan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, menerusi nasihat KKM, kawasan zon hijau dan kuning juga sentiasa dipantau dan tindakan sewajarnya akan segera diambil sekiranya bertukar menjadi zon merah.

Bermula dengan Kluster Benteng LD yang diumumkan pada 1 September tiga lagi kluster di Lahad Datu dan Tawau ialah Kluster Laut (Kunak, Sabah), Kluster Pulau (Kunak, Sabah) dan terbaharu Kluster Selamat (Semporna, Sabah). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!