Kelantan mahu jadi pengeluar utama nanas MD2

Mohd Zamani (tiga dari kanan) bersama Nik Mahidin (kanan) dan Dr Mohd Kaisan (kiri) semasa merasmikan Mini Karnival MD2 anjuran Alumni Gerakan Belia 4B Kelantan di Pasir Puteh.
Mohd Zamani (tiga dari kanan) bersama Nik Mahidin (kanan) dan Dr Mohd Kaisan (kiri) semasa merasmikan Mini Karnival MD2 anjuran Alumni Gerakan Belia 4B Kelantan di Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan berhasrat menjadi pengeluar nanas Milie Dilard 2 (MD2) terkemuka di negara ini.

Pengarahnya, Mohd Zamani Ab Ghani berkata, sasaran tersebut mampu dicapai berpandukan kepada kejayaan beberapa pengusaha tanaman itu di atas tanah mineral atau bukit terutama di KBee Valley, Kuala Krai.

"Hasil tuaian nanas MD2 di tanah bukit dilihat lebih segar kerana kawasan ini sedikit beralun dan mempunyai saluran yang baik.

"Melihat kepada potensi itulah kita menyasarkan memperluaskan kawasan tanaman nanas ini supaya hasrat menjadi salah satu pengeluar utama mampu dicapai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival MD2 anjuran Alumni Gerakan Belia 4B Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Alumni 4B Negeri Kelantan, Datuk Nik Mahidin Nik Mustapa dan Timbalannya, Datuk Dr Mohd Kaisan Abd Rahman.

Mohd Zamani berkata, setakat ini Kelantan mempunyai 100 penanam nanas membabitkan lebih 100 hektar tanah di Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli, Rantau Panjang dan Pasir Puteh.

Katanya, bagi merancakkan lagi perkembangan industri nanas, kerajaan menerusi LPNM Kelantan menyediakan galakan menerusi bantuan benih kepada peserta.

"Bukan itu sahaja, kita turut memberikan khidmat nasihat dan bimbingan kepada peserta supaya mereka mampu menjadi pengusaha nanas berjaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Mohd Kaisan berkata, alumni 4B Kelantan akan bekerjasama dengan LPNM dan Persatuan Pengusaha serta Penanam Nanas Kelantan untuk menganjurkan mini karnival yang sama ke seluruh daerah pada masa akan datang.

Katanya, bukan itu sahaja alumni 4B yang menubuhkan koperasi turut melabur dan mengusahakan penanaman nanas MD2 dalam usaha menambah dana pendapatan persatuan.

"Kebanyakan ahli alumni terlibat secara langsung dalam projek penanaman nanas MD2 di seluruh Kelantan," katanya.