22 premis dikesan curi elektrik

Mohd Elmi (kanan) melihat juruteknik TNB melakukan pemotongan elektrik di premis yang menjalankan perlombongan mata wang bitcoin di Taman Arowana, pagi tadi.
Mohd Elmi (kanan) melihat juruteknik TNB melakukan pemotongan elektrik di premis yang menjalankan perlombongan mata wang bitcoin di Taman Arowana, pagi tadi.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Suruhanjaya Tenaga (ST) mengesan 22 premis di negeri ini membuat sambungan elektrik secara haram bagi menjalankan aktiviti perlombongan mata wang bitcoin.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan (JPOK), Mohd Elmi Anas berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerugian besar setiap bulan malah mengundang bahaya berikutan sambungan dibuat tidak mempunyai sistem perlindungan.

Menurutnya, kesemua premis berkenaan diserbu dalam operasi khas yang dilakukan sejak semalam bersama TNB, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Dalam serbuan yang dilakukan mendapati kebanyakan mereka mencuri bekalan elektrik dengan membuat sambungan terus pada tiang TNB tanpa menggunakan meter.

"Kita dapati sambungan haram yang dibuat ini sangat berbahaya dan sekiranya ada yang menyentuh mungkin mengakibatkan kecelakaan serius akibat terkena renjatan elektrik," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan di Taman Arowana di sini, pagi tadi.

Mohd Elmi berkata, kegiatan haram itu juga akan menjejaskan pengguna lain berikutan kerap berlaku kerosakan fius dan gangguan bekalan elektrik di sekitar premis yang menjalankan perlombongan mata wang bitcoin.

Katanya, kejadian itu menimbulkan curiga selain mendapati bil penggunaan elektrik pengguna di kawasan berhampiran rendah.

Artikel Berkaitan:

800 mesin bitcoin ditemui dipasang di dalam sebuah premis di Taman Arowana, pagi tadi.
800 mesin bitcoin ditemui dipasang di dalam sebuah premis di Taman Arowana, pagi tadi.

"Hasil risikan yang dilakukan sejak dua minggu lalu berjaya membongkar kegiatan mereka dan di premis ini sahaja kita merampas 80 mesin bitcoin yang dipercayai dipasang 24 jam tanpa henti dengan menggunakan bekalan elektrik curi.

"Dianggarkan premis ini mencuri bekalan elektrik kira-kira 320 ampere meter yang mana mengikut tarif TNB mengalami kerugian RM24,000 sebulan hanya untuk satu premis,” katanya.

Beliau berkata, ketika serbuan pihaknya mengambil masa hampir satu jam untuk memotong pintu premis terbabit selain tidak dapat mengesan pemiliknya.