Kenaikan gaji, upah pekerja masih rendah: MTUC

J Solomon
J Solomon
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan meneliti semula kenaikan gaji dan upah pekerja mengikut keadaan kos sara hidup semasa.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, ini kerana kenaikan gaji dan upah pekerja di negara ini masih rendah bagi menampung kos sara hidup diri dan keluarga.

"Kebanyakan pekerja terutama di kawasan bandar terpaksa bertahan berikutan kenaikan kos sara hidup, harga barang dan perkhidmatan kesan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Oleh demikian MTUC menggesa kerajaan merumuskan dasar berkesan bagi melindungi kehidupan pekerja dan memberi mereka upah yang layak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, laporan oleh Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berhubung gaji dan upah pekerja di negara ini tahun lalu meningkat sebanyak 4.4 peratus mesti dilihat daripada perspektif lebih komprehensif kerana masih ramai pekerja berdepan gaji rendah.

"Kenaikan gaji dan upah sebanyak 4.4 peratus ini mungkin menerima pujian ramai, lebih-lebih lagi, Mohd Uzir dalam kenyataannya berkata, kenaikan itu turut menunjukkan pertumbuhan ekonomi dicatatkan Malaysia tahun lalu.

"Bagaimanapun, ia perlu dinilai dengan data lain yang relevan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan badan lain boleh dipercayai," katanya.

Menurut beliau, angka 4.4 peratus itu bersamaan dengan peningkatan cuma RM137 bagi gaji dan upah bulanan bagi 2019, berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Laporan Tahunan BNM 2017 menyatakan dengan jelas gaji pekerja pasangan dengan dua anak di bandar seperti Kuala Lumpur adalah RM6,500 sebulan dan RM2,700 untuk individu.

"Selain itu, puluhan ribu pekerja hanya meraih pendapatan sekitar RM2,500 dan terpaksa bekerja lebih masa untuk mendapat gaji sekitar RM3,000.

"Mereka hidup dalam kemiskinan dan dengan sedikit simpanan, memaksa mereka menanggung hutang yang tinggi untuk menampung keluarga mereka," katanya.

Dalam pada itu, Solomon berkata, MTUC mahu kerajaan melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu pekerja terutamanya dalam kalangan B40.

"Pada Jun tahun lalu, kerajaan berjanji untuk memperkenalkan Indeks KOS SARA Hidup (CLI) untuk melengkapkan Indeks Harga Pengguna (CPI).

"Langkah itu membolehkan kerajaan menyusun dasar lebih realistik berdasarkan keadaan sebenar berlaku dalam kalangan masyarakat.

"CLI akan menguntungkan golongan berpendapatan rendah melalui program secara bersasar, bagaimanapun cadangan mengenainya agak sepi ketika ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu memperkenalkan Peraturan Pekerjaan Darurat yang akan melarang majikan memberhentikan pekerja sehingga ekonomi negara pulih dari kejatuhan Covid-19.

"Ini bagi memastikan jaminan pekerjaan buat mereka memandangkan kehidupan kini semakin mendesak.

"Kementerian Sumber Manusia perlu segera mengadakan mesyuarat bersama Majlis Penasihat Tenaga Kerja Nasional (NLAC) untuk membincangkan isu serius pekerja terutama gaji dan kebajikan mereka," katanya.

Semalam, Mohd Uzir dalam satu kenyataan memaklumkan, purata gaji dan upah bulanan di Malaysia mencatatkan peningkatan daripada RM2,308 pada tahun 2018 kepada 5.8 peratus iaitu RM2,442 tahun lepas.

Katanya, purata gaji dan upah bulanan meningkat daripada RM3,087 kepada RM3,224 (4.4 peratus) dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata, bilangan penerima gaji dan upah pula seramai 9.2 juta orang pada 2019 meningkat 5.0 peratus daripada 8.8 juta orang pada 2018.