Pemasang mozek didakwa hentak kepala anak teman wanita

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR- Seorang pemasang mozek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menghentak kepala anak teman wanitanya di dinding rumah sehingga menyebabkan kesan bengkak di dahi kanak-kanak itu.

Chak Chee Wah, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menghentak kepala seorang kanak-kanak lelaki yang ketika itu berumur 13 tahun tujuh bulan di dinding rumah sehingga menyebabkan kecederaan iaitu kesan bengkak di dahi mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang tamu di sebuah rumah di Jalan Cheras 3 1/2, di sini pada kira-kira jam 8 malam, 14 September lalu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Peguam Choo Yeong Shing yang mewakili tertuduh memohon jaminan dibenarkan terhadap anak guamnya dengan alasan dia menjaga ibu bapanya dan adik-beradik orang kurang upaya (OKU).

Mahyon kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 1 haribulan dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Tarikh 6 Oktober depan ditetapkan untuk sebutan kes dan serahan dokumen.

Artikel Berkaitan: